Warga Asing Mentertawakan Malaysia Gagal Martabatkan Bahasa Kebangsaan

0
821
Hiasan: Poster Bulan Bahasa Kebangsaan

KUCHING – Warga asing akan mentertawakan Malaysia kerana masih gagal memartabatkan bahasa kebangsaan, bahasa Melayu selepas 61/55 tahun merdeka.  Ada sesuatu yang tidak betul dengan warga Malaysia.

Tidak ada negara di dunia yang masih bertelingkah hampir setiap tahun tentang  bahasa kebangsaan dan bahasa pengantar.  Jika bahasa Melayu telah dimartabatkan dalam Perlembagaan Malaysia sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi dan bahasa pengantar dalam sistem pendidikan maka warga negara Malaysia bukanlah warga negara sebenarnya.

Sungguhpun begitu, ada sesetengah pihak yang masih belum peka terhadap kenyataan ini. Ada yang menjadikan bahasa Inggeris sebagai bahasa nasionalisasi mereka. Ya, tidak dinafikan bahawa bahasa Inggeris juga penting bagi melahirkan generasi yang bijak pandai, namun bahasa ibunda kita jangan sesekali terabai.

Omar Immun, Dipertua Mimbar Permuafakatan Ibu Bapa Malaysia (MAPIM) Sarawak

Perkara ini telah dibangkitkan oleh Yang Dipertua Mimbar Permuafakatan Ibu Bapa Malaysia (MAPIM) Sarawak iaitu Omar Immun yang menyatakan bahawa bahasa Melayu ialah bahasa yang diyakini dan telah mencapai taraf bahasa kebangsaan selari dengan fungsinya sebagai bahasa diplomatik dan lingua franca. Beliau menambah, bahasa Melayu juga merupakan bahasa perdagangan sedunia, bahasa penyebaran agama besar di dunia dan bahasa sastera pada abad ke-16 dan ke-17.

Menurut Omar, MAPIM Sarawak akan terus mendukung serta menyokong agar bahasa Melayu menjadi bahasa pengantar wajib di sekolah-sekolah. Omar yang juga dikenali sebagai Ketua Penerangan MAPIM Kebangsaan itu berkata bahawa majoriti keluarga yang berbangsa Melayu sudah tentunya bertutur dalam bahasa Melayu ketika di rumah dan kepentingan untuk mengubahnya sudah tentu mustahil.

Kita sering kali mendengar peranan bahasa Melayu dalam sistem pendidikan seperti mana yang telah dirumuskan dalam Akta Pendidikan 1961 lanjutan daripada penegasan perundangan terhadap Penyata Razak 1956 dan Laporan Rahman Talib yang menetapkan bahasa Melayu digunakan sebagai bahasa pengantar dan sekali gus dapat membentuk satu bangsa Malaysia yang mempunyai identiti yang unggul di samping menyemai rasa penuh kesetiaan kepada negara.

Menurut Omar, Perkara 152 (1) Perlembagaan Persekutuan menetapkan bahawa bahasa Melayu dugunakan sebagai bahasa kebangsaan, manakala Seksyen 17 Akta Pendidikan Negara 1996 menyatakan bahawa bahasa Melayu mestilah menjadi instrumen utama di sekolah kecuali di sekolah jenis kebangsaan, di mana bahasa kebangsaan mesti diajar sebagai subjek wajib.

“MAPIM Sarawak menyeru semua pihak untuk terus mendukung aspirasi negara menjadikan bahasa Melayu bahasa antarabangsa dan terus menjadi bahasa pengantar di sekolah-sekolah,” katanya lagi.

Haiyazi Roslan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here