More
    Home Sarawak Kuching Keberanian Lima Anak Muda yang Memula Perjuangan IGMS

    Keberanian Lima Anak Muda yang Memula Perjuangan IGMS

    KUCHING: Kisah Ikatan Graduan Melayu Sarawak (IGMS) bermula daripada keberanian lima anak muda yang memilih untuk berjuang memperkasakan masyarakat Melayu Sarawak ketika ramai mempersoalkan kewujudan sebuah lagi pertubuhan Melayu pada awal 1990-an.

    Penasihat IGMS, Datuk Dr. Sanib Said berkata, beliau bersama-sama empat lagi rakan berkumpul pada tahun 1993 untuk membincangkan usaha memperjuangkan pembangunan masyarakat Melayu menerusi pendidikan, kepimpinan dan pembangunan modal insan.

    “Antara individu yang terlibat dalam penubuhan awal IGMS ialah Datuk Takun Sunggah, Datuk Dr. Hazami Jahari, Ahmad Lokman dan Dzulkarnain Wajidi.

    “Pada ketika itu, kami hanyalah sekumpulan kecil anak muda tanpa pangkat dan kedudukan. Namun begitu, kami percaya sesuatu perubahan besar perlu bermula dengan langkah kecil dan keikhlasan dalam perjuangan,” katanya.

    Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Konvensyen Graduan Melayu Sarawak 2.0 Tahun 2026 di Auditorium Tun Ahmad Zaidi Adruce, Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Batu Lintang di sini, hari ini.

    Beliau menambah, usaha mendaftarkan IGMS bukan mudah kerana pihaknya terpaksa melalui pelbagai proses birokrasi sebelum pertubuhan itu berjaya didaftarkan secara rasmi pada tahun 1996.

    Menurutnya, penubuhan IGMS turut menerima pelbagai tentangan apabila ada pihak mempersoalkan keperluan menubuhkan sebuah lagi persatuan Melayu, sedangkan ketika itu sudah terdapat beberapa pertubuhan Melayu yang aktif di Sarawak.

    “Ada yang menganggap kami membawa perjuangan bersifat perkauman dan melabelkan kami sebagai ekstremis atau radikal.

    “Kritikan itu bukan sahaja datang daripada pihak luar, malah daripada masyarakat Melayu sendiri,” ujarnya.

    Mengulas lanjut, beliau berkata, terdapat juga golongan agamawan yang mempersoalkan perjuangan berteraskan Melayu kerana dikhuatiri bersifat asabiah.

    “Namun perjuangan IGMS sejak awal berpaksikan tiga prinsip utama yang diringkaskan sebagai ‘Alif, Ba, Ta’, iaitu agama, bangsa dan tanah air.

    “Perjuangan kami mudah. Kami mahu mempertahankan agama Islam, memperkasakan bangsa Melayu dan berbakti kepada tanah air,” jelasnya.

    Mengimbau perjalanan IGMS sepanjang lebih tiga dekad, Sanib berkata, pertubuhan itu telah menganjurkan pelbagai program pembangunan belia dan pendidikan termasuk kem remaja, konvensyen graduan Melayu, himpunan mahasiswa Sarawak serta program motivasi berskala besar.

    “Antara kejayaan yang paling diingati ialah penganjuran Konvensyen Graduan Melayu Sarawak yang berjaya menghimpunkan kira-kira 2,000 peserta, serta program motivasi perdana di Masjid Jamek yang menarik kehadiran sekitar 10,000 orang.

    “Ketika itu belum ada internet, media sosial atau aplikasi komunikasi seperti sekarang, tetapi sambutan yang diterima amat memberangsangkan,” tambahnya.

    Beliau turut mengakui pernah berdepan saat sukar apabila ramai rakan seperjuangan mula membawa haluan masing-masing sehingga beliau hampir membubarkan pertubuhan tersebut.

    “Bagaimanapun, kemunculan beberapa pemimpin pelapis dan sokongan berterusan daripada ahli-ahli IGMS berjaya menghidupkan semula semangat perjuangan pertubuhan itu.

    “Oleh itu, golongan intelektual muda perlu memainkan peranan lebih besar dalam mendepani cabaran masa depan, termasuk mempertahankan kestabilan negeri dan menyumbang idea bagi memastikan Sarawak terus maju,” ujarnya.

    Katanya, pendidikan tinggi merupakan elemen penting dalam melahirkan masyarakat yang berdaya saing dan mampu memimpin perubahan.

    “Generasi kami telah memulakan perjuangan ini. Kini menjadi tanggungjawab generasi muda untuk meneruskan legasi tersebut demi agama, bangsa dan tanah air,” katanya. SUMBER: Suara Sarawak

    Leave A Reply

    Please enter your comment!
    Please enter your name here

    Must Read

    JMS bercadang mewartakan manuskrip Jawi klasik dipercayai ditulis oleh Sultan Tengah

    0
    KUCHING (Jun 11): Jabatan Muzium Sarawak (JMS) bercadang untuk mewartakan manuskrip Jawi klasik yang dipercayai ditulis oleh Sultan Tengah atau Sultan Ibrahim Ali Omar...