Islam Membawa Risalah Kedamaian Kata Mujahid, Menteri Agama Islam

0
445
Yang diPertuan Agung, Sultan Muhamad V dan Datuk Dr. Mujahid di Majlis Maal Hijrah Kebangsaan

KUALA LUMPUR – Tegaknya agama Islam di atas muka bumi ini bukan diukur dari segi kesatuan ummah semata-mata, namun yang paling penting ialah bagaimana kita ingin menampakkan Islam itu sebagai agama yang sempurna dan terpuji. Namun, kebelakangan ini terdapat serpihan-serpihan kaca yang bertindak untuk memesongkan akidah sehingga menimbulkan luka yang amat parah dalam agama yang mulia ini. Sungguhpun begitu, ada juga sesetengah pihak yang menganggap bahawa agama Islam sebagai agama yang zalim, keras dan tidak bertimbang rasa.

Perkara ini telah menimbulkan kerisauan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, iaitu Datuk Dr. Mujahid Yusof Rawa yang menyatakan bahawa kerangka fiqhharus dilihat dalam skop yang lebih luas dan universal berlandaskan realiti budaya setempat tanpa menggadaikan prinsip-prinsip asas Islam selari dengan keperluan masa ini.

Beliau menambah, seiring dengan perubahan pentadbiran negara, agenda reformasi berterusan yang merangkumi aspek pembangunan Islam turut diberi perhatian sepenuhnya dalam memacu kelangsungan pengurusan Islam yang lebih dinamik, kompeten dan berdaya saing.

Datuk Dr. Muhajid Yusuf menyampaikan ucapan

“Justeru, agama Islam yang membawa mesej kedamaian, keadilan serta menolak fanatik perkauman mesti terus disebarkan kepada seluruh masyarakat,” katanya pada majlis bacaan Yasin dan doa selamat sambutan Maal Hijrah peringkat kebangsaan 2018/1440M di Masjid Wilayah Persekutuan di sini, malam ini.

Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V berkenan berangkat mencemar duli menghadiri Majlis tersebut.

Yang di-Pertuan Agong tiba di Masjid Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur pada jam 6.54 petang dan disambut mulia oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail dan Mujahid.

Mengulas lanjut, Mujahid berkata, tema Menyantuni Umat Membawa Rahmat memiliki mesej penting yang menyampaikan nilai-nilai murni selari dengan prinsip maqasid syariahsebagai wadah pentarbiahan umat secara berterusan.

“Keindahan Islam yang syumul perlu ditampilkan sehingga Islam dapat dijadikan contoh oleh umat keseluruhannya tanpa mengira bangsa dan agama.

“Oleh itu, mesej Islam perlu dipersembahkan dengan penuh berhikmah, manakala umat perlu disantuni melalui nilai-nilai keinsanan seperti berkasih-sayang, bertoleransi, saling hormat-menghormati dan bantu-membantu antara satu sama lain,” katanya.

Haiyazi Roslan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here