UNIMAS Catat Sejarah Apabila Festival Pertama di Borneo Berkolaborasi dengan Taiwan

0
578
Melalui platform “Duduk dan Tonton” filem-filem ini akan ditayangkan buat pertama kali kepada penonton di Kuching, Sarawak

KOTA SAMARAHAN, 25 Mac 2019 (SNN) –  Unimas sekali lagi mencatatkan sejarah apabila kali ini Mini Filem Festival UNIMAS akan mengadakan kolaborasi pertama dengan organisasi filem dari Taiwan, dikenali sebagai Taiwan Film Institute dan Taiwan Docs. Kolaborasi ini, menurut programmer festival, Encik Yow Chong Lee, merupakan satu kolaborasi bersejarah dalam festival filem di Borneo dengan menjalinkan kerjasama bersama rakan sejawatan mereka di Taiwan .

Dengan kerjasama yang tidak pernah berlaku sebelum ini, lima filem yang dihasilkan oleh pembuat filem dari Taiwan, Myanmar dan Malaysia akan ditayangkan kepada penonton buat kali pertama di Kuching Sarawak. “Melalui platform “Duduk dan Tonton”, kami berusaha untuk membawa filem kepada penonton di Sarawak kerana filem-filem ini jarang dapat diakses kecuali hadir sendiri ke festival filem antarabangsa di negara lain”, tambah Yow.

Sementara itu, Taiwan Docs yang didokong oleh Taiwan Film Institute merupakan organisasi yang bertanggungjawab dalam mempromosikan dokumentari Taiwan. “Oleh kerana objektif organisasi adalah untuk mempromosikan dokumentari Taiwan secara lokal mahupun di luar negara, kerjasama kami dengan Mini Film Festival dapat dilihat sebagai sebuah batu loncatan yang akan membuka peluang kepada filem-filem Taiwan untuk bersinar dan dihargai oleh penonton yang lebih luas di Malaysia”, kata Jessie dari Taiwan Docs.

Bersempena dengan tema “Duduk dan Tonton” yang akan datang, iaitu “Swaying between Past dan Present, God and Man“, terdapat lima filem pendek yang dipilih dengan teliti oleh Fan Wu, iaitu programmer festival dari Taiwan International Documentary Film Festival. Semua filem yang dicadangkan oleh Fan Wu telah disokong dan dibayar oleh Taiwan Film Institute dan Taiwan Docs untuk tujuan tayangan di Kuching.

Antara filem yang bakal menarik perhatian penonton, menurut Yow, ialah filem “Return“, iaitu sebuah filem yang diarahkan oleh pengarah film muda Taiwan, Huang Pang-Chuan. Beliau terkenal dengan karya-karyanya yang selalu menggabungkan tiga elemen utama iaitu memori, perjalanan dan teknologi filem tradisional. Satu lagi filem menarik yang bakal dipertontonkan kepada penonton ialah “Firefly” arahan Lau Kek-Huat, sebuah filem yang menggambarkan tentang etnik Cina Malaysia pada akhir abad ke-18 dan awal abad ke-19.

“Duduk dan Tonton” akan berlangsung pada pukul 8 malam bertempat di Saradise Innovation Space. Para penonton yang berminat boleh mendaftar di laman sosial Facebook Mini Film Festival untuk mendapatkan tiket percuma. Maklumat lanjut mengenai acara itu, juga boleh menghubungi Cik Lanida di talian 011 – 1918 4256.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here