KUALA LUMPUR (9 Julai): Kerajaan menerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) terus komited memperkukuh liputan serta kualiti perkhidmatan komunikasi di kawasan sempadan Sarawak-Kalimantan, termasuk di Lubok Antu, melalui kerjasama strategik dengan pelbagai pihak berkepentingan.
Menteri Komunikasi berkata, usaha ini dilaksanakan bagi menangani cabaran geografi di kawasan sempadan dengan kerjasama kerajaan Sarawak, penyedia perkhidmatan telekomunikasi serta agensi berkaitan untuk memperluaskan liputan internet dan komunikasi secara bersepadu.
Menurut jawapan bertulis kepada pertanyaan Ahli Parlimen Lubok Antu, Roy Angau Gingkoi, antara inisiatif yang telah dilaksanakan ialah kerjasama dengan Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Lubok Antu serta Perbadanan Ekonomi Digital Sarawak Berhad (SDEC). Hasilnya, sebuah menara komunikasi baharu mula beroperasi pada 31 Oktober 2025, sekali gus meningkatkan liputan serta kualiti perkhidmatan komunikasi di kawasan berkenaan.
MCMC turut berperanan sebagai pemudah cara dalam menyelaras pembangunan infrastruktur komunikasi, termasuk pembinaan menara baharu di Pos Kawalan Sempadan Ba’kelalan dengan kerjasama Jabatan Imigresen Malaysia. Langkah ini memastikan keperluan komunikasi di kawasan sempadan terus dipertingkatkan.
Selain itu, MCMC mengadakan sesi libat urus bersama Pasukan Gerakan Am (PGA) di Ibu Pejabat PGA Batu Kawa pada 13 April 2026 bagi membincangkan sokongan terhadap aspek komunikasi dan infrastruktur telekomunikasi di kawasan persempadanan Sarawak-Kalimantan-Brunei. Antara isu yang dibincangkan termasuk gangguan liputan serta perayauan (roaming) tidak disengajakan akibat kedudukan berhampiran sempadan negara jiran.
Menteri Komunikasi menegaskan, MCMC akan meneliti langkah mitigasi bersama penyedia perkhidmatan bagi mengurangkan isu perayauan, selain terus memantau prestasi serta kualiti perkhidmatan komunikasi. Matlamatnya adalah memastikan penduduk di kawasan sempadan menikmati liputan internet yang stabil, berkualiti dan berdaya harap. – Sumber dari Utusan Sarawak




