Speakers’ Corner Sediakan Perkongsian Maklumat Untuk Pengunjung Sempena Cuti Sekolah

0
1000
Jadual perkongsian maklumat oleh agensi-agensi, institusi- institusi, NGO’s dan orang perseorangan melalui Speakers’ Corner

KUCHING, 25 Mac 2019 (SNN) –  Agenda Warisan Pintar Old Kuching yang berlansung  pada 25 hingga 31 Mac 2019 bertempat di Tebingan Kuching selain menyediakan pelbagai aktiviti dan hiburan kepada pengunjungnya, juga menyediakan sudut perkongsian maklumat oleh agensi-agensi, institusi- institusi, NGO’s dan orang perseorangan.

Speakers’ Corner anjuran bersama Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) dan Yayasan Sarawak akan mengupas dan berkongsi maklumat mengenai pelbagai aspek yang memfokuskan kepada Pendidikan yang akan dikongsi bersama oleh Yayasan Sarawak dan  Centre of Technical Excellence (Centexs) pada 25 Mac 2019. Topik yang akan dibawa adalah berkaitan Penajaan Pendidikan oleh Yayasan Sarawak dan Bidang Kemahiran Sebagai Kerjaya oleh Centexs.

Perkongsian topik berkaitan “Media Sosial- Ketahui Hak Anda” akan dikongsikan oleh pihak Suruhanjaya Komunikasi Dan Multimedia Malaysia pada 26 Mac 2019. Manakala Pertubuhan Belia Kebangsaan Sarawak ( Saberkas ) akan berkongsi topik “e-sport Sebagai Kerjaya” pada tarikh 27 Mac 2019.  

Polis DiRaja Malaysia (PDRM) / Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) pula akan mengadakan slot perkongsian pada 27 Mac 2019 dengan topik Peranan Komuniti Dalam Memerangi Jenayah.

Majlis Seni Sarawak dan Yayasan Budaya Melayu Sarawak pula akan membawakan Rahsia Tarian Tradisional Sarawak, dan Sejarah Kerajaan Melayu Sarawak Lama pada 28 Mac 2019. Ini diikuti oleh topik berkaitan Digital Business oleh Kementerian Pembangunan Perindustrian Dan Usahawan Sarawak (MIED).

Seterusnya tema berkenaan isu kekeluargaan, dengan topik Keibubapaan Yang Berkesan dan Isu Pembahagian Harta Pusaka Islam akan dikongsikan bersama oleh Mahkamah Syariah dan Jabatan Agama Islam Sarawak pada 30 Mac 2019.

Persatuan Diabetes Malaysia Cawangan Sarawak dan Normah Medical Specialist  Centre pula akan membawakan tema berkenaan Gaya Hidup Sihat oleh aktivis gaya hidup sihat yang bertauliah. Antara topik yang akan dibawa dalam perkongsian tersebut adalah Sayangi Jantung Anda dan Kencing Manis serta Komplikasinya yang akan diadakan pada 31 Mac 2019.

Orang awam adalah dialu-alukan untuk menghadiri sesi perkongsian maklumat tersebut pada 25 hingga 31 Mac 2019, mulai jam 10:00 pagi hingga 4:00 petang bertempat di Tingkat 1, Bangunan Square Tower (Restoran Magenta), Tebingan Kuching. Setiap sesi adalah selama 2 jam dan tiada yuran penyertaan dikenakan kepada pengunjung.

Di samping itu, buat julung kalinya DBKU akan menampilkan 10 orang DJ DBKU untuk berkongsi maklumat dengan para pendengar  melalui Radio DBKU, yang mana kesemua DJ yang terlibat merupakan warga kerja DBKU sendiri. Radio DBKU adalah Radio Pihak Berkuasa Tempatan yang pertama di Sarawak dan ia merupakan satu lagi perkhidmatan komuniti DBKU dalam menyalurkan maklumat semasa di samping berhibur dengan para pendengar.

Perasmian Agenda Warisan Pintar Old Kuching akan disempurnakan oleh Ketua Menteri Sarawak YAB Datuk Patinggi (Dr.) Abang Haji Abdul Rahman Zohari bin Tun Datuk Abang Haji Openg pada 27 Mac 2019, 8.30 malam.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here