Selepas Lebih 30 Tahun Akhirnya Ibadah Qurban Dapat Dilaksanakan Di Kampung Muhibbah

0
94
Dr Hazland bergambar bersama penduduk Kampung Muhibbah sebelum Program Ibadah Qurban bermula

KUCHING, 16 Ogos 2019 (SNN)-  Penduduk-penduduk Kampung Muhibbah tidak dapat menahan kegembiraan dan syukur di atas kelancaran Program Ibadah Qurban DUN Demak Laut di sini, semalam.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Demak Laut Dr Haji Hazland Abang Haji Hipni berkata selepas lebih 30 tahun akhirnya penduduk Kampung Muhibbah dapat merasai ibadah Qurban yang sebenar.

“Sebelum ini, penduduk Kampung Muhibbah hanya melaksanakan ibadah Qurban di Pangkalan Pending atau di Pangkalan Balang yang terletak di zon Perindustrian Demak Laut.

“Kebiasannya lembu akan disembelih di Pangkalan Pending atau Balang atau di tempat lain sebelum dagingnya dibawa ke Kampung Muhibbah dengan menggunakan perahu.

“Pada hari ini, saya dapat melihat kegembiraan jelas terpancar di wajah penduduk yang begitu teruja menjalankan ibadah Qurban di Kampung Muhibbah,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa ditemui ketika menyaksikan sembelihan lembu sempena Program Ibadah Qurban DUN Demak Laut di Kampung Muhibbah, semalam.

Kampung Muhibbah hanya mula dapat dihubungkan dengan jalan darat menerusi Kampung Pinggan Jaya selepas siapnya jalan masuk ke kampung sebelas bulan yg lalu.

Sementara itu, Ketua Kaum Kampung Muhibbah Haji Yusuf bin Suhaili , 62 tahun menyifatkan hari ini (semalam) adalah hari yang cukup bersejarah apabila buat pertama kalinya ibadah Qurban dapat dilaksanakan di Kampung Muhibbah.

“Jika sebelum ini, kami hanya melihat dan memerhatikan kampung-kampung lain mengadakan aktiviti ibadah Qurban dengan perasaan sayu. Tetapi, hari ini perasaan sayu itu telah bertukar gembira kerana kami penduduk Kampung Muhibbah dapat melaksanakan ibadah Qurban. Malah, hari ini (semalam) penduduk telah bersedia dari awal bagi menikmati suasana ibadah Qurban buat pertama kalinya,” katanya.

Sebanyak 120 bungkus daging Qurban telah diagih-agihkan kepada golongan asnaf dan penduduk di Kampung Muhibbah.

Penduduk Kampung Muhibbah bekerjasama melakukan sembelihan lembu sempena Program Ibadah Qurban DUN Demak Laut di Kampung Muhibbah, semalam
Dr Hazland turut mengambil peluang berbual dan beramah mesra dengan penduduk Kampung Muhibbah

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here