Mohd Chee Kadir Berusaha Selesai Masalah Air di Kabong

0
659
Mohd Chee Kadir semasa melakukan kunjungan hormat terhadap Pengarah Jabatan Bekalan Air Luar Bandar Sarawak (JBALB) , Encik Chang Kuet Shian di Ibu Pejabat JBALB Kuching Sarawak

KABONG, 18 Ogos 2019 (SNN)-  ADUN N.40 Kabong, Yang Berhormat Encik Mohd Chee Bin Kadir berusaha untuk menyelesaikan masalah air di Kabong. Ini dapat dilihat apabila beliau telah melakukan kunjungan hormat terhadap Pengarah Jabatan Bekalan Air Luar Bandar Sarawak (JBALB) , Encik Chang Kuet Shian di Ibu Pejabat JBALB Kuching Sarawak pada 16 Ogos yang lepas. Lawatan tersebut bertujuan untuk membincangkan berkaitan perlaksanaan projek-projek bekalan air dalam kawasan N.40 Kabong.

Hasil perbincangan dan kunjungan tersebut, Mohd Chee Kadir turut dimaklumkan bahawa setakat ini perjalanan projek bagi tujuan bekalan air ke kawasan Kabong berjalan dengan lancar dan mengikut jadual yang ditetapkan. Namun demikian  Mohd Chee Kadir turut memohon pemantauan yang berterusan daripada pihak JBALB bagi mengelak sebarang masalah yang tidak diingini.

Pemantauan yang berterusan dan mengikut jadual bagi semua projek yang melibatkan bekalan air di kawasan N.40 Kabong bertujuan mengelakkan sebarang kelewatan sekaligus boleh menjejaskan projek secara keseluruhan .  

Mohd Chee Kadir bersama isteri dan rombongan melakukan tinjauan ke Loji Perawatan Air Nanga Lichok, Roban semalam

Dalam perkembangan berkaitan, semalam Mohd Chee Kadir bersama isteri dan rombongan telah  membuat tinjauan ke Loji Perawatan Air Nanga Lichok, Roban bermula jam 11 pagi. Tinjauan tersebut berikutan kerisauan yang disuarakan oleh penduduk Kabong tentang paras air di loji tersebut yang dikatakan berada dalam keadaan kritikal dan hampir kering.

Menurut jurucakap Loji Perawatan Air Nanga Lichok, Encik Abd Razak Bin Mustapha, paras air ketika ini ialah 7 kaki pada bacaan di Loji Perawatan Air Nanga Lichok, Roban yang mana masih dalam keadaan selamat dan tidak seperti yang dikhabarkan. Paras bacaan ini dijangka akan terus naik dengan keadaan hujan yang masih turun pada ketika ini.

Justeru Mohd Chee Kadir memohon supaya penduduk sekitar terutamanya di kawasan N.40 Kabong agar tidak cepat panik dan jangan mudah mempercayai khabar angin, sebaliknya sentiasa merujuk kepada sumber yang sahih dan boleh dipercayai.

Mohd Chee Kadir turun padang untuk meninjau sendiri paras air di Loji Perawatan Air Nanga Lichok, Roban
Mohd Chee Kadir mendapat penerangan berhubung status terkini paras air daripada jurucakap Loji Perawatan Air Nanga Lichok, Encik Abd Razak Bin Mustapha

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here