Sekolah dan PIBG Perlu Kerjasama dan Muafakat Bagi Pastikan Kecemerlangan

2
1065
Chee Kadir bersama sebahagian daripada ibu bapa dan guru yang hadir dalam Majlis Perasmian Hari Permuafakatan PIBG SMK Kabong 2019

Kabong, 11 April 2019 (SNN)- Kerjasama dan muafakat erat antara pihak sekolah dengan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) amat diperlukan bagi memastikan sekolah sebagai sebuah institusi pendidikan terus maju  dan cemerlang. Ibu bapa juga disaran untuk sering berbincang dengan pihak sekolah bagi mendapat gambaran yang sebenarnya sekiranya berlaku sebarang masalah di kalangan anak-anak dengan pihak sekolah. Yang Berhormat Encik Mohd Chee Kadir (ADUN N.40 Kabong) berkata demikian semasa Majlis Perasmian Hari Permuafakatan PIBG SMK Kabong 2019 semalam.

Chee Kadir juga berharap semua ibu bapa memberi sokongan padu yang tidak berbelah terhadap usaha murni pihak sekolah, khususnya dalam membantu anak-anak. Dengan penggemblengan tenaga dan sokongan daripada ibu bapa kepada pihak sekolah akan menyemarakkan budaya permuafakatan yang sekaligus akan melahirkan generasi yang berwibawa dan berjaya dalam pelbagai aspek bukan sahaja akademik semata-mata.

Beliau juga berkata “kita memerlukan generasi terpelajar yang disebut sebagai pekerja ilmu atau knowledge workers, iaitu golongan terdidik yang bukan sahaja menguasai ilmu dan berkemahiran tinggi malahan memiliki dan mengamalkan sikap dan nilai-nilai positif untuk memajukan diri serta memakmurkan negara. Sesungguhnya sesebuah negara yang ingin maju memerlukan golongan muda yang berkualiti, berkarisma, berwibawa dan berketrampilan”.

Menurut Chee Kadir, masalah yang sering kali dihadapi oleh pihak sekolah adalah masalah ponteng di kalangan pelajar. Banyak faktor yang seringkali dikaitkan dengan masalah ponteng sekolah ini termasuklah gejala sosial seperti vandalism, gangsterisme, kumpulan kongsi gelap dan penyalahgunaan dadah. “Kurangnya minat  terhadap pelajaran juga menyebabkan pelajar kurang minat untuk datang ke sekolah sebaliknya lebih suka berhibur ketika sesi pembelajaran berlangsung. Golongan ini biasanya cenderung untuk ponteng  kerana menganggap sesi pembelajaran di sekolah membosankan, selain terkongkong dengan peraturan sekolah. Kajian turut menunjukkan bahawa pelajar yang kerap ponteng juga merupakan pelajar yang tergolong dalam pelajar yang mempunyai masalah disiplin”, katanya.

Selain daripada sikap pelajar itu sendiri, pengaruh rakan sebaya, pengaruh persekitaran dan teknologi, faktor keluarga turut menyumbang kepada punca pelajar bermasalah. Kos sara hidup yang semakin meningkat tinggi menyebabkan ibu bapa yang berpendapatan rendah akan terkesan terutamanya dalam menanggung kos pelajaran anak-anak seperti kos tambang ke sekolah, duit poket anak-anak, yuran sekolah, yuran kokurikulum mahupun bayaran-bayaran lain di sekolah. Kegagalan untuk melakukan bayaran ke atas yuran mahupun keperluan sekolah ini turut memberi kesan kepada anak-anak, dan dalam masa yang sama boleh menyumbang kepada masalah ponteng sekolah di kalangan pelajar yang terlibat.

Ibu bapa juga tonggak kepada anak-anak melalui sokongan moral dan menyediakan keperluan asas kepada mereka. Merekalah yang mencari rezeki setiap hari bagi menampung kehidupan dan pelajaran anak-anak. Ibu bapa jugalah yang mencorakkan anak masing-masing.” Anak umpama kain putih, dan ibu bapa lah yang mencorakkannya, sama ada seindah pelangi atau malap masa hadapannya”, tambah Chee Kadir lagi.

Pada majlis ini Chee Kadir turut menyampaikan cek berjumlah RM10, 000 kepada pihak PIBG SMK Kabong bagi tujuan aktiviti tahunan 2019.

Mengakhiri ucapannya Chee Kadir menyeru kepada semua guru agar sama-sama berganding bahu bersama ibu bapa, sama-sama mengukuhkan tekad dan memantapkan komitmen demi menyempurnakan amanah yang diberikan dengan jujur dan ikhlas.

Chee Kadir menyampaikan cek berjumlah RM10, 000 kepada pihak PIBG SMK Kabong yang diwakili oleh pengetua SMK Kabong, Ramli Seruji
 

2 COMMENTS

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here