55 Orang Polis Bantuan UNIMAS Tamat Kursus Lanjutan Pengendalian T-Baton Siri 3/2019

0
530
Encik Henry Tening (lima dari kiri) merakamkan gambar kenangan bersama para polis bantuan pada majlis penutupan Kursus Lanjutan Pengendalian T-Baton Siri 3/2019 Polis Bantuan UNIMAS baru-baru ini

Kota Samarahan, 12 April 2019 (SNN)- Seramai 55 orang anggota Polis Bantuan UNIMAS termasuk 10 orang anggota Polis Bantuan IBRACO yang terdiri dari 46 orang lelaki dan 9 orang wanita telah berjaya menamatkan Kursus Lanjutan Pengendalian T-Baton Siri 3/2019 di Dewan Kampus Timur bermula pada 9 April sehingga 10 April 2019.

Pihak Bahagian Keselamatan UNIMAS juga telah mengadakan Kursus Lanjutan Pengendalian T-Baton Siri 1/2019 pada 05 Mac sehingga 06 Mac 2019 dan Kursus Siri 2/2019 pada 11 Mac hingga 12 Mac 2019 yang hanya melibatkan kehadiran seramai 90 orang anggota Polis Bantuan UNIMAS sahaja.

Tujuan utama kursus ini diadakan adalah untuk menambahkan pengetahuan dan kemahiran anggota Polis Bantuan dalam menggunakan T-Baton sekaligus dapat meningkatkan ketahanan fizikal yang tinggi bagi menghadapi tuntutan serta cabaran dari masa ke semasa. Selain itu juga, dapat menerapkan nilai-nilai murni, perubahan sikap yang positif dan mempunyai disiplin yang tinggi bagi memenuhi kehendak organisasi.

Seiring dengan cabaran semasa yang tinggi ekoran dari penambahan bilangan pelajar dan kenderaan yang semakin meningkat serta bentuk ancaman kian kompleks, elemen keselamatan bukanlah suatu perkara yang boleh diambil mudah di dalam sebuah organisasi.

Dengan adanya kursus lanjutan seperti ini, anggota Polis Bantuan UNIMAS bukan sahaja berfungsi sebagai mata dan telinga kepada pihak berkuasa malah ia juga sebagai pembantu yang efektif dalam mencegah jenayah dan seterusnya menurunkan kadar jenayah dalam kampus.

Majlis Penutupan ini telah disempurnakan oleh Pendaftar UNIMAS iaitu Tuan Henry Anak Tening. Hadir bersama pada majlis tersebut adalah Tuan Lipi Anak Awan iaitu Pengurus Keselamatan IBRACO, Pegawai Bahagian Keselamatan UNIMAS iaitu ASP Idzhar Shaffarrul Bin Hasli, DSP Rajan Thangaveloo dan ASP Ritchie Anak Jarit, Pegawai SUKSIS UNIMAS.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here