Anak-Anak Istimewa Punya Bakat Tersendiri dan Tidak Wajar Diabaikan

0
340
Dayang Morliah semasa menyampaikan sumbangan kepada salah seorang anak istimewa pada Program Sentuhan Kasih anjuran Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Sarawak di Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) Lawas, semalam

Lawas, 11 April 2019 (SNN)-  Anak-anak istimewa ini masing-masing mempunyai bakat tersendiri dan mereka tidak wajar diabaikan. Mereka juga perlu dibekalkan dengan pendidikan dan kemahiran yang terbaik supaya mereka ini boleh berdikari pada masa akan datang.

Penaung Pertubuhan Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) Lawas, YBhg Dato Dayang Morliah Datuk Haji Awang Daud berkata tugas dalam mendidik anak-anak istimewa ini adalah sesuatu yang sukar dan memerlukan perhatian yang lebih. “Kita memahami tugas mendidik anak-anak istimewa ini memerlukan kesabaran, namun dalam masa yang sama kita harus memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada mereka. Kita sememangnya berhasrat agar anak-anak istimewa ini dapat hidup berdikari suatu hari nanti”. Beliau berkata demikian semasa berucap Program Sentuhan Kasih anjuran Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Sarawak di Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) Lawas, semalam.

“Untuk itu, mereka ini perlu dibekalkan dengan kemahiran agar mereka mempunyai pendapatan sendiri dan berfikiran positif dalam memahami kehidupan akan datang,” katanya. 

Dayang Morliah yang juga Timbalan Pengerusi SABATI melahirkan terima kasih kepada setiap petugas di PDK Lawas ini yang telah melatih anak-anak istimewa dengan penuh kasih sayang. “Para petugas bersama Ahli Jawatankuasa PDK Lawas dan ibu bapa perlu bekerjasama meningkatkan kualiti kemahiran anak-anak.  Apa yang penting, mereka sentiasa berasa gembira dan membantu mereka memperoleh peluang untuk belajar ke peringkat yang lebih tinggi. Untuk itu, kita perlu sabar mendidik anak-anak istimewa ini dan berilah kasih sayang sepenuhnya kepada mereka,” tambahnya lagi.

SABATI juga menurut Dayang Morliah akan terus menjelajah ke tempat-tempat PDK di seluruh Sarawak dalam usaha membantu mereka yang memerlukan selain memberikan motivasi kepada tenaga pengajarnya. 

Pada majlis itu, seramai 120 orang pelatih PDK Lawas menerima sumbangan daripada Dayang Morliah. Hadir sama pada majlis tersebut, Timbalan Pengerusi PPDK Lawas Zakaria Abdul Rashid, Setiausaha Parti PBB Bukit Sari Awang @ Ibrahim Ahmad, Ketua Wanita PBB Bukit Sari Cr Aishah Binti Hj Bahar dan Pengetua SMK Lawas Sawal Hj Pandin.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here