Rakyat Diseru Pertahankan Perpaduan Demi Kesejahteraan Bersama

0
17
Dr Hazland bergambar bersama penduduk di Taman Sepakat Jaya 2 pada Majlis Ramah Tamah Aidilfitri di Taman Sepakat Jaya 2 anjuran Ahli Jawatankuasa Surau Mutiara Iman

KUCHING, 06 Julai 2019 (SNN)- Rakyat diseru untuk pertahankan perpaduan demi kesejahteraan bersama. Ini kerana perpaduan yang dikecapi hari ini wajar dipertahankan kerana inilah benteng terakhir kita dalam menjadikan Sarawak terus menjadi negeri contoh di Malaysia.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Demak Laut Dr Hazland Abang Hipni berkata kita hari ini sangat beruntung kerana kebijaksanaan pemimpin Sarawak terdahulu yang amat mementingkan perpaduan biarpun kita hidup dalam kalangan lebih 28 suku kaum di negeri ini.

“Seperti penduduk di Taman Sepakat Jaya 2 ini, bukan sahaja orang Melayu dan Melanau, tetapi turut juga didiami masyarakat Iban, Bidayuh, Orang Ulu dan sebagainya.

“Oleh itu, jangan berpecah belah dan kuatkan perpaduan. Kita bukan secupak dan juga bukan segantang. Justeru, saya menyeru penduduk di sini terus bersatu padu dan menjaga perpaduan yang sedia ada demi memastikan kawasan persekitaran kita aman sejahtera,” katanya semasa menghadiri Majlis Ramah Tamah Aidilfitri di Taman Sepakat Jaya 2 anjuran Ahli Jawatankuasa Surau Mutiara Iman, baru-baru ini.

Sementara itu, Dr Hazland telah memaklumkan bahawa pembinaan masjid baru yang bernilai RM2.5 juta yang dibiayai Kerajaan Sarawak kini dalam proses pembinaannya.

“Sebelum ini projek tersebut merupakan projek di bawah Kerajaan Persekutuan tetapi telah diambil alih Kerajaan Sarawak. Kini pembinaannya masih berjalan mengikut jadual. Siapnya nanti akan melahirkan insan yang cemerlang dan berkualiti tinggi,” ujarnya.

Terdahulu Dr Hazland dalam ucapannya semasa Majlis Ramah Tamah Aidilfitri DUN Demak Laut Peringkat Taman Sepakat Jaya baru-baru ini, sebanyak RM760,000 Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) 2019 Dewan Undangan Negeri (DUN) Demak Laut telah diluluskan untuk Taman Sepakat Jaya. Menurut beliau jumlah itu adalah sebahagian daripada peruntukkan RTP 2019 DUN Demak Laut secara keseluruhannya.

“Pada tahun ini, Kerajaan Sarawak telah meluluskan sebanyak RM760,000 kepada pembangunan di Taman Sepakat Jaya menerusi peruntukkan RTP DUN Demak Laut. Daripada jumlah itu, RM200,000 diperuntukkan untuk baik pulih Dewan Masyarakat Taman Sepakat Jaya, RM310,000 bagi pembinaan sistem perparitan, RM100,000 masing-masing untuk membina Pusat Khidmat Komuniti dan membina Gelanggang Sepak Takraw, dan RM50,000 bagi naik taraf Surau Taman Sapakat Jaya.

“Saya berharap, selepas ini penduduk di Taman Sepakat Jaya akan dapat menikmati kehidupan yang lebih selesa. Menjadi tanggungjawab saya sebagai wakil rakyat untuk memastikan setiap rakyat akan menikmati pembangunan secara berterusan dan bersama,” katanya lagi.

Pada majlis itu, Dr Hazland telah menyampaikan sumbangan kepada golongan asnaf yang terdiri daripada warga emas, ibu tunggal, anak-anak yatim dan orang kelainan upaya (OKU). Hadir sama pada Majlis Ramah Tamah Aidilfitri di Taman Sepakat Jaya 2 ialah Ketua Kaum Mohammad bin Bohari dan Pengerusi Surau Hj Abdul Rauf Aini.

Dr Hazland turut menyampaikan sumbangan kepada golongan asnaf yang terdiri daripada warga emas, ibu tunggal, anak-anak yatim dan orang kelainan upaya (OKU) pada Majlis Ramah Tamah Aidilfitri di Taman Sepakat Jaya 2

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here