Pusat Dalam Komuniti (PDK) Buntal Miliki Bangunan Sendiri

0
978
Hajah Juma’ani diiringi Dr Abdul Rahman semasa Majlis Perasmian Pusat Pertubuhan Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) Kampung Buntal di sini, hari ini

KUCHING, 20 April 2019 (SNN) – Penantian 15 tahun Pusat Dalam Komuniti (PDK) Buntal untuk memiliki bangunan sendiri akhirnya menjadi kenyataan. Menteri Muda Utiliti (Bekalan Elektrik) Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi berkata, sebelum memiliki bangunan sendiri, PDK tersebut menyewa rumah di Kampung Buntal. Bagaimanapun menurutnya, masalah wujud apabila menyewa premis tertentu kerana kemudahan asas untuk pelatih orang kurang upaya (OKU) tidak lengkap.

“Sejarah pembinaan PDK ini memakan masa yang agak panjang, sebelum ini PDK ini hanya menyewa, namun kemudahan di rumah sewa tidak sesuai dengan kegunaan OKU. Kemudahan asas yang lengkap penting bagi memudahkan proses latihan, bimbingan dan kaunseling untuk pelatih,” katanya. Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Pusat Pertubuhan Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) Kampung Buntal di sini, hari ini.

Pengerusi Sarawak Badan Amal Tenaga Isteri-Isteri (SABATI), Yang Amat Berbahagia Datuk Amar Hajah Juma’ani Tun Tuanku Haji Bujang telah merasmikan Pusat Pertubuhan Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) Kampung Buntal tersebut.

Hajah Juma’ani, Pengerusi Sarawak Badan Amal Tenaga Isteri-Isteri (SABATI) memotong reben tanda perasmian pada Majlis Perasmian Pusat Pertubuhan Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) Kampung Buntal

Dr Abdul Rahman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN)  turut hadir dalam majlis tersebut mengiringi Hajah Juma’ani, Pengerusi Sarawak Badan Amal Tenaga Isteri-Isteri (SABATI).  Berucap dalam majlis berkenaan, Dr Abdul Rahman yang juga merupakan ADUN N4 Pantai Damai, berkata, PDK Kampung Buntal itu amat penting bagi membantu orang kurang upaya (OKU) hidup berdikari dan diintegrasikan dalam pusat tersebut. Jelasnya, menerusi PDK berkenaan, ia mampu memberi manfaat kepada golongan OKU di tujuh buah kampung di sekitar Kampung Buntal.

Menurut Dr Abdul Rahman lagi, pembinaan PDK tersebut menggunakan dana Program Transformasi Luar Bandar (RTP) dan ini telah mendapat persetujuan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi (Dr) Abang Haji Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Haji Openg. “Bermula suku kedua tahun lepas kita mendapat persetujuan Ketua Menteri bagi menggunakan dana RTP untuk membina PDK ini,” ujarnya.

Beliau berkata, “PDK Buntal kini menempatkan 21 pelatih daripada pelbagai peringkat umur bermula tiga hingga 45 tahun”. Sehubungan itu, Dr Abdul Rahman menggesa pengurusan PDK untuk sentiasa bekerjasama bagi menambahbaik pentadbiran dan proses latihan.

Mengakhiri ucapannya, Dr Abdul Rahman menambah, beliau juga berharap lebih banyak pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tampil ke hadapan bagi membantu para pelatih PDK. “Sokongan daripada masyarakat umum juga penting bagi memastikan golongan OKU mendapat perhatian. Kesedaran serta keprihatinan daripada masyarakat kepada golongan OKU amat dihargai,” katanya.

Antara persembahan daripada peserta OKU pada Majlis Perasmian Pusat Pertubuhan Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) Kampung Buntal
 
 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here