Inisiatif ‘Food Bank’ Masjid Darul Hana Bantu Keluarga Asnaf Setiap Bulan

0
643
Dr Abdul Rahman merakamkan gambar selepas majlis penyerahan bantuan kepada 26 orang penerima dari keluarga asnaf di 13 kampung kawasan Seberang Hilir

Kuching, 19 April 2019 (SNN)– Inisiatif Food Bank Masjid Darul Hana bakal memberi bantuan kepada keluarga asnaf setiap bulan. Majlis Pelancaran Inisiatif Food Bank Masjid Darul Hana telah dilakukan oleh Menteri Muda Utiliti (Bekalan Elektrik) Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Damai.

Inisiatif Food Bank Masjid Darul Hana memerlukan sumbangan daripada sektor korporat dan usahawan untuk membolehkan bantuan berterusan dapat disalurkan kepada golongan sasar. Dr Abdul Rahman Junaidi berkata, bantuan berupa barangan kering itu dirancang untuk diberikan secara bulanan. “Sumbangan korporat dan usahawan amat dialukan bagi membolehkan bantuan berterusan diberikan kepada golongan sasar,” katanya. Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Inisiatif Food Bank Masjid Darul Hana di sini, hari ini.

Dr Abdul Rahman menyerahkan bantuan kepada salah seorang daripada  26 orang penerima dari keluarga asnaf di 13 kampung kawasan Seberang Hilir

Dr Abdul Rahman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Damai menjelaskan, pemimpin masyarakat juga digesa untuk terus mengemaskini senarai penerima yang terdiri daripada golongan asnaf dan miskin. “Kita juga akan menggunakan senarai ekasih bagi menentukan penerima. Justeru masyarakat dan pemimpin masyarakat digesa untuk sentiasa mengemaskini daftar ekasih bagi memastikan tiada di kalangan komuniti masyarakat yang tercicir daripada senarai penerima”, tambah beliau.

Menurutnya lagi, ia merupakan program yang julung kali diadakan melibatkan penduduk sekitar perkampungan Seberang Hilir. Seramai 26 orang penerima dari keluarga asnaf di 13 kampung kawasan Seberang Hilir menerima sumbangan makanan asas pagi ini. Program ini dikelolakan bersama Kenyalang Prodigy, Kenyalang Rangers dengan kerjasama Masjid Darul Hana.

Sumbangan tambahan dari badan-badan korporat, agensi swasta, NGO dan para dermawan dalam bentuk makanan kering dan keperluan dapur untuk diagihkan kepada keluarga-keluarga miskin di sekitar kawasan Petra Jaya ini amatlah dialu-alukan. Sebarang bentuk sumbangan boleh dihantar terus kepada Jawatankuasa Pengurusan Masjid Darul Hana, Jalan Tun Salahuddin, Petra Jaya atau melalui pegawai seranta Encik Hamzah Man +60 14 8879 410.

Dr Abdul Rahman sempat berbual dengan sebahagian penduduk yang menerima bantuan dalam Majlis Pelancaran Inisiatif Food Bank Masjid Darul Hana

Sementara itu dalam majlis yang sama Dr Abdul Rahman turut menyampaikan Hadiah Pertandingan Fotografi Darul Hana kepada para pemenang yang menyertai Pertandingan Fotografi sempena Karnival Darul Hana.  Menurut Dr Abdul Rahman, gambar yang dihasilkan menerusi pertandingan fotografi Darul Hana bakal menjadi bahan sejarah perkampungan Melayu di Seberang Hilir. Sejarah yang terdapat di Seberang Hilir akan ditatap pada masa akan datang menerusi gambar tersebut. Menurutnya, ia memandangkan dalam tempoh 10 akan tahun akan datang penduduk kawasan Seberang Hilir akan berhijrah ke penempatan baharu di Darul Hana.”Sudah pasti gambar ini akan menjadi sejarah dan tatapan generasi akan datang,” katanya lagi.

Dr Abdul Rahman menambah, pertandingan yang julung kali diadakan tahun ini mendapat sambutan hangat daripada peserta. Menurutnya lagi, pelbagai gambar menarik berjaya dihasilkan yang menceritakan tentang gaya hidup, ekonomi dan budaya masyarakat Seberang Hilir. “Kita dapat lihat gambar yang dihasilkan amat menarik dan kreatif. Pelbagai cerita menarik penduduk Seberang Hilir dihasilkan,” ujarnya.

Dr Abdul Rahman menyampaikan hadiah kepada salah seorang pemenang Pertandingan Fotografi Darul Hana 2019

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here