Muzik Mampu Menjadi Elemen Untuk Menyatukan Masyarakat- Awang Tengah

0
164
Awang Tengah semasa merasmikan Konsert Harmoni Bersama Simfoni Orkestra Negeri Sarawak Pemimpin Bersama Rakyat anjuran Majlis Seni Sarawak dengan kerjasama Pejabat Daerah Lawas dan Majlis Daerah Lawas yang diadakan di Dataran Lawas

LAWAS, 20 April 2019 (SNN)- Kerajaan Sarawak akan terus melaksanakan projek-projek penting yang mampu mengangkat ekonomi masyarakat sekaligus memajukan negeri ini. Timbalan Ketua Menteri Sarawak YB Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata projek-projek ekonomi ini penting dalam usaha mengangkat ekonomi masyarakat semua sektor ke arah berdaya saing dan maju.

“Hari ini Kerajaan Sarawak telah menumpukan usaha-usaha dalam melaksanakan projek-projek penting yang mampu mengangkat ekonomi masyarakat yang merangkumi semua sektor. Dalam apa jua bidang sekalipun, kita akan berjaya jika ia dilakukan dengan niat yang betul serta bersungguh-sungguh,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap di Konsert Harmoni Bersama Simfoni Orkestra Negeri Sarawak Pemimpin Bersama Rakyat anjuran Majlis Seni Sarawak dengan kerjasama Pejabat Daerah Lawas dan Majlis Daerah Lawas yang diadakan di Dataran Lawas, malam tadi.

Datuk Amar Awang Tengah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Sari juga menegaskan muzik adalah sesuatu yang bersifat antarabangsa tanpa mengira sempadan, asal keturunan dan muzik adalah satu elemen yang penting untuk menyatukan masyarakat.

“Muzik juga berpotensi baik untuk dijadikan kerjaya atau karier. Buktinya, kita lihat saja mereka yang berjaya dalam seni yang mana mereka tergolong antara  yang cukup kaya dan terkenal. Jelas bahawa muzik dan kesenian juga mampu untuk memberi kejayaan kepada kita. Jika kita bersungguh sungguh dalam apa yang kita lakukan, kita akan berjaya. Jika kita terus bersatu seperti muzik yang boleh menyatukan jiwa tanpa ada batasan sempadan, percayalah kita sentiasa boleh bersatu dan bekerjasama dan menjadi contoh yang terbaik,” tegasnya.

Ini merupakan penganjuran sulung Orkestra Jelajah Konsert Harmoni Pemimpin Bersama Rakyat diadakan dengan Lawas sebagai destinasi pertama. Jika sebelum ini, muzik orkestra hanya ditonton oleh golongan bangsawan dan tiketnya cukup mahal, tetapi penduduk Lawas pula dapat menyaksikan orkestra secara langsung secara percuma.

Turut hadir dalam majlis tersebut adalah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Danau YB Paulus Palu Gumbang, Kementerian Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Sarawak Norhayati Bidin, Residen Bahagian Limbang Ir. Ahmad Denney Haji Ahmad Fauzi, Pegawai Daerah Lawas Ladin Atok, Pegawai Daerah Limbang Superi Bin Awang Said dan Ketua-ketua Masyarakat. 

Antara persembahan sempena Konsert Harmoni Bersama Simfoni Orkestra Negeri Sarawak Pemimpin Bersama Rakyat anjuran Majlis Seni Sarawak dengan kerjasama Pejabat Daerah Lawas dan Majlis Daerah Lawas yang diadakan di Dataran Lawas

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here