Projek Pembinaan Jalan Bernilai RM45 juta Bakal Rancakkan Pembangunan Daro

0
196
Safiee meninjau perkembangan projek-projek yang sedang dilaksanakan di sekitar DUN Daro

Daro, Mukah 06 April 2019 (SNN) – Projek pembinaan jalan bernilai RM45 juta bakal rancakkan pembangunan kawasan Daro. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Daro YB Safiee Hj Ahmad mengumumkan berita berkenaan projek pembinaan Jalan Premix dari Kampung Penasu ke Ng. Semah yang dianggarkan bernilai RM45 juta sempena lawatan Ketua Menteri Sarawak tahun lepas. Beliau berkata demikian semasa berucap di Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Dewan Serbaguna Kampung Penasu, semalam.

“Tender bagi projek telah ditutup pada penghujung bulan Mac 2019 dan proses penilaian tender kini dalam peringkat akhir. Projek ini sepanjang 10.6 km akan memberi manfaat kepada kira-kira 800 orang penduduk dari Kampung Penasu dan 6 buah Rumah Panjang di Ng Semah, sebuah klinik kesihatan dan sekolah,” ujarnya.

Siapnya projek ini dan beberapa projek lagi akan dilaksanakan dalam masa terdekat membuktikan Kerajaan Sarawak sentiasa mengutamakan keperluan dan kehendak rakyat dalam memenuhi pembangunan di kawasan luar bandar. Satu projek telah siap dan dua lagi projek telah diserahkan kepada kontraktor terlibat dalam melaksanakan pembangunan di Kampung Penasu.

Safiee mengumumkan berita gembira tersebut  kepada penduduk-penduduk Kampung Penasu  dan dalam masa yang sama mengumumkan beberapa projek yang telah siap dan akan dilaksanakan dalam masa terdekat ini.

“Pada hari ini kita akan menyaksikan perasmian Dewan Serbaguna Kampung Penasu yang telah pun siap biarpun sebelum ini telah mengalami beberapa kali pertukaran kontraktor. Projek yang bernilai RM350 ribu ini telah melibatkan empat kontraktor dan empat kali cabutan undi. Tiga kontraktor yang sebelum ini terpilih tidak dapat menyiap dan melaksanakan projek tersebut. Hanya kontraktor yang keempat sahaja yang berjaya menyiapkan projek ini dengan baik,” katanya.

Sementara itu, Safiee turut mengumumkan Projek Pembinaan Benteng Hakisan yang bernilai RM2.1 juta seperti yang telah diumumkan YAB Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi (Dr.) Abang Hj Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Hj Openg tahun lepas telah diserahkan kepada kontraktor untuk dilaksanakan.

“Projek Pembinaan Benteng Hakisan yang bernilai RM2.1 juta seperti yang diumumkan Ketua Menteri Sarawak tahun lepas telah diserahkan kepada kontraktor NAR Development Sdn. Bhd. Projek ini dijangka siap pada Jun 2020 yang meliputi panjangnya 500 meter. Ia bertujuan mengurangkan hakisan sungai yang berlaku ketika ini”.

“Manakala, bagi Projek Pembinaan Gelanggang Futsal Kampung Penasu ianya telah diserahkan kepada kontraktor yang telah dipilih menerusi cabutan undi. Projek yang bernilai RM110,000 dijangka siap sebelum Hari Raya Puasa ini,” jelasnya. 

Hadir sama pada majlis tersebut, Pegawai Daerah Daro Bujang Rahman Seli, Jurutera Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Bahagian Mukah Faizal Suki, Jurutera Jabatan Kerja Raya (JKR) Daerah Daro Faizal Suki dan Jurutera JKR Daerah Daro Awang Dasuki Awang Dol.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here