Mangsa Kebakaran Di Kampung Hilir Baru, Lingga, Terima Sumbangan

0
44
Hajah Simoi meninjau lokasi kejadian bersama Pertubuhan Bomba Sukarelawan Tanjung Engkabang, anggota polis dari Ibu Pejabat Daerah Sri Aman dan kakitangan dari Sarawak Energy Berhad

Lingga, Sri Aman, 06 April 2019 (SNN)- Mangsa kebakaran di Kampung Hilir Baru, Lingga terima sumbangan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga YB Hajah Simoi . Satu kebakaran yang mengakibatkan rumah kepunyaan Jamel bin Tuah musnah sepenuhnya telah berlaku di Kampung Hilir Baru di sini, tengahari tadi.

Menurut  Hajah Simoi kebakaran itu telah memusnahkan keseluruhan rumah milik Jamel dan bagaimanapun ia tidak melibatkan kemalangan jiwa. Selain itu dua buah rumah jiran turut menerima tempias akibat kebakaran tersebut. Sehingga kini, punca kebakaran masih lagi disiasat dan tiada kemalangan jiwa dilaporkan. Sungguhpun begitu,  ibu kepada Jamel, Ayot binti Hashin masih berada dalam keadaan lemah dan terkejut.

“Saya bersimpati dengan atas apa yang berlaku dan mengharapkan keluarga Jamel bersabar dalam menghadapi dugaan ini. Kehadiran saya hari ini adalah untuk menyampaikan sumbangan berupa kewangan dan barangan keperluan untuk meringankan beban keluarga mangsa”, menurut Hajah Simoi.

“Selepas ini pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Sri Aman akan datang menyusul bagi memberikan bantuan yang diperlukan dan sumbangan lain bagi keperluan keluarga mangsa. Manakala, Jabatan Pendaftaran Negara (JPS) Sri Aman akan hadir bagi memberikan perkhidmatan penyediaan dokumen yang berkaitan selepas menerima laporan daripada pihak bomba dan polis,” kata Hajah Simoi lagi yang ditemui selepas melawat mangsa kebakaran dan menyampaikan sumbangan kewangan dan barang keperluan harian dan makanan kepada keluarga mangsa.  Sementara itu, dua rumah jiran yang menerima tempias akibat kebakaran itu juga akan turut dibantu JKM Sri Aman. 

Turut berada di lokasi kejadian ialah, 5 orang Pertubuhan Bomba Sukarelawan Tanjung Engkabang, 7 orang anggota polis dari Ibu Pejabat Daerah Sri Aman dan 5 orang kakitangan daripada Sarawak Energy Berhad. 

Hadir sama Pegawai Daerah Sri Aman Mohd Asree bin Haji Wee, Timbalan Ketua Cawangan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) N28 Lingga Mohd Yusof Haji Lugom dan Pemanca Mas Shamsiah Haji Maslem Ketua Wanita PBB Dayang Megeret Haji Awg Hamid.

Hajah Simoi menyampaikan sumbangan berupa kewangan dan barangan keperluan untuk meringankan beban keluarga mangsa kebakaran

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here