KUALA LUMPUR (13 JULAI): Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) hari ini mengeluarkan amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang membabitkan beberapa kawasan di Kedah, Perak dan Sarawak sehingga jam 12 tengah hari ini.
Menurut laporan Berita Harian, METMalaysia dalam kenyataan hari ini memaklumkan, kawasan yang terlibat di Kedah ialah Kota Setar, Yan dan Kuala Muda; di Perak melibatkan Manjung, Perak Tengah, Bagan Datuk dan Hilir Perak; manakala di Sarawak melibatkan Bintulu serta Miri (Subis, Beluru, Miri dan Marudi).
“Amaran ribut petir adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran,” jelas kenyataan itu.
Orang ramai dinasihatkan agar berwaspada dengan perubahan cuaca dan mengambil langkah keselamatan sewajarnya, terutama bagi mereka yang berada di kawasan berisiko. Sumber: Berita Harian



