Projek Kampung Semilang Tetap Diteruskan Kerajaan Negeri Sarawak

0
692
Dr Hazland bersama sebahagian penduduk Kampung Semilang yang hadir semasa Majlis Pelancaran GPS Peringkat Ranting PBB Semilang

Kuching, 10 April 2019 (SNN)- Projek Kampung Semilang tetap diteruskan oleh Kerajaan Negeri Sarawak. Projek feri dan jalan kampung yang sebelum ini di bawah Kerajaan Persekutuan telah dibatalkan Kerajaan PH sehingga menyebabkan penduduknya berasa kecewa.

“Bagaimanapun, Kerajaan Sarawak yang diperintah GPS memahami kekecewaan itu dan mengambil keputusan mengambil alih dan meluluskan kedua-dua projek itu. Inilah wajah Kerajaan GPS yang memahami kekecewaan yang dialami rakyatnya dan seterusnya mengambil alih projek yang telah dibatalkan Kerajaan PH sebelum ini,” demikian menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Demak Laut Dr Hazland Abang Hipni semasa menyampaikan Taklimat Isu-Isu Semasa Politik Sarawak semasa Pelancaran GPS Peringkat Ranting PBB Semilang, Ahad lepas.

Rakyat diminta untuk terus memberikan sokongan kepada pemimpin Kerajaan Sarawak dalam mendapatkan kembali hak rakyat dan negeri Sarawak seperti yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63). Dr Hazland berkata ketika ini pemimpin-pemimpin Sarawak dari Gabungan Parti Sarawak (GPS) sedang dalam perdebatan bagi mendapatkan kembali status Sarawak sebagai sebuah wilayah dalam Persekutuan Malaysia dan hak-hak Sarawak seperti yang terkandung dalam MA63.

“Pada hari ini pemimpin-pemimpin Sarawak akan mengusulkan agar pindaan Perkara 1(2) Perlembagaan Persekutuan yang telah dibentangkan dalam Dewan Rakyat pada Khamis lepas akan dibaca buat kali kedua ditangguhkan. Penangguhan ini penting bagi membolehkan kandungan Rang Undang-Undang (RUU) Perkara 1(2) yang dipinda itu boleh diteliti dahulu di peringkat Sarawak dan Sabah sebelum ianya dibentang dan dibahaskan di Dewan Rakyat”.

“Pindaan ini penting dalam memastikan segala keputusan berkaitan dengan hak-hak Sarawak dan Sabah dapat dikembalikan seperti yang pernah dijanjikan Kerajaan Pakatan Harapan (PH) sebelum ini,” katanya

Menurut Dr Hazland lagi,”adalah adil sekiranya intipati pindaan RUU Perkara 1(2) itu diberikan lebih awal bagi membolehkan pemimpin-pemimpin GPS menilai keperluan yang perlu dimasukkan atau dikeluarkan dalam Perlembagaan Persekutuan itu. Malah, untuk lebih adil pindaan RUU Perkara 1(2) itu dibahaskan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak sebelum dibawa ke Dewan Rakyat untuk dibahaskan dan diluluskan,” tambahnya.

Sementara itu, pada majlis itu Dr Hazland turut mengumumkan berita gembira kepada penduduk di Kampung Semilang dan sekitarnya bahawa Kerajaan Sarawak telah meluluskan pembinaan feri dan jalan kampung yang sebelum ini dibatalkan Kerajaan PH.

Dalam majlis itu, penduduk Kampung Semilang telah mengambil peluang untuk berinteraksi dan bertanyakan soalan kepada Dr Hazland yang banyak berkisar kepada isu-isu di peringkat kampung. Ternyata kaedah dan cara ini telah disambut baik penduduk yang membolehkan mereka berjumpa dan bertanyakan terus masalah yang dihadapi penduduk selama ini.

Pada majlis itu, Dr Hazland juga telah menyampaikan sumbangan berjumlah RM10 ribu kepada Masjid Misbahul Huda Kampung Semilang bagi tujuan mengadakan aktiviti dan program masjid pada tahun ini.

Penduduk Kampung Semilang telah mengambil peluang untuk berinteraksi dan bertanyakan soalan kepada Dr Hazland semasa Majlis Pelancaran GPS Peringkat Ranting PBB Semilang

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here