Projek Rakyat di Daerah Matu Membuka Lebih Banyak Projek Pembangunan Setempat

0
183
Julaihi semasa Lawatan Projek Jalan Pesisir Di Kawasan Jemoreng dan Matu di sini

Matu, Mukah, 10 April 2019 (SNN)–  Projek rakyat di Daerah Matu membuka lebih banyak projek pembangunan setempat. Penduduk di kawasan Daerah Matu kini boleh tersenyum selepas beberapa projek pembangunan yang ditunggu selama ini akan dilaksanakan dalam masa terdekat.

Menteri Muda Jalan Pesisir Sarawak YB Datuk Julaihi Narawi berkata siapnya Projek Rakyat, iaitu projek ‘Membina dan Menyiapkan Jalan Kampung Igan ke Rumah Panjang Sungai Ilas dan Kampung Sah, Kebuaw, Batang Igan (Fasa 1)’ akan membuka lebih banyak projek pembangunan lain di kawasan ini.

“Apabila siapnya jalan ini nanti, pelbagai kemudahan infrastruktur lain dapat diteruskan seperti bekalan air bersih dan sebagainya,” katanya semasa mengadakan Lawatan Projek Jalan Pesisir Di Kawasan Jemoreng dan Matu di sini, semalam. 

“Hari ini kita menyaksikan serah tapak dan mula kerja Projek Rakyat iaitu ‘Membina dan Menyiapkan Jalan Kampung Igan ke Rumah Panjang Sungai Ilas dan Kampung Sah, Kebuaw, Batang Igan (Fasa 1)’ kepada kontraktor terlibat. Jalan yang bernilai RM43 juta dan sepanjang 8.5 km ini akan dilaksanakan dalam fasa 1”, tambahnya lagi.

Julaihi turut menyerahkan tapak dan mula kerja Projek Rakyat iaitu ‘Projek Jalan Akses ke Tapak Kaul Igan, Daerah Matu’. “Seperti Jalan Kampung Igan ke Rumah Panjang Sungai Ilas dan Kampung Sah, Kebuaw, Batang Igan (Fasa 1), Projek Rakyat ‘Jalan Akses ke Tapak Kaul Igan’ ini akan dibina dalam masa terdekat. Jalan yang bernilai RM2.88 juta akan dinaik taraf naik taraf jalan sepanjang 1.33 km dan bina baru sepanjang 0.9 km,” ujarnya.

Selepas itu, Julaihi telah mendengar taklimat yang disampaikan JKR Mukah Pegawai Daerah Matu dan Pegawai JKR Matu/Daro mengenai projek dan kawasan Matu yang terlibat dalam projek-projek tersebut. Lawatan diteruskan dengan melihat tapak projek siap meliputi Jalan Igan-Kabuaw sepanjang 5km yang bernilai RM6 juta.

Turut dilawati tapak cadangan ‘missing link’ Jalan dari Kebuaw ke Rumah Lebong, Rumah Jarit, Telok Deloh Batang Igan.  Ketika ditanya mengenai Projek Pembinaan Jambatan Batang Igan, Julaihi telah menjelaskan projek itu akan diusahakan dalam tahun ini juga.

“Seperti yang diketahui Projek Pembinaan Jambatan Igan akan diambil alih Kerajaan Sarawak. Proses tender akan diusahakan pada tahun ini juga,” jelasnya. 

Selepas itu, Julaihi dan rombongan bergerak ke Matu untuk melawat projek baru iaitu cadangan Jalanraya Kampung Jemoreng ke Sg Passin di mana Kg Jemoreng terletak dalam DUN Jemoreng manakala Sg Passin dalam DUN Daro, namun kedua-duanya di bawah pentadbiran Pejabat Daerah Matu.  Jalan sepanjang 17.5km itu bernilai RM66 juta dan telah 60 peratus dalam proses reka bentuk. 

Sebelum pulang, Julaihi telah merasmikan Rumah Rehat VVIP yang baru siap dibina melalui projek RTP ADUN Jemoreng. 

Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jemoreng YB Dato’ Mursyid Diraja Dr. Haji Juanda Haji Jaya, ADUN Daro YB Shafiee Haji Ahmad Pegawai Daerah Matu Wan Hipni Wan Mohamad, Setiausaha Politik Kepada Ketua Menteri Sarawak Haji Kenel Jeraie, Pemanca Kaum Melanau Matu Johari bin Rimong, Pegawai Dan Staf Jabatan Kerja Raya Bahagian Mukah dan JKR Matu/Daro. 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here