Program Kembara Ramadhan Semai Konsep Bersedekah dan Erat Silaturahim

0
605
Dr Hazland semasa menyampaikan bubur lambuk di kawasan Tabuan Khamis lepas

KUCHING, 12 Mei 2019 (SNN)- Program Kembara Ramadhan dapat menyemai konsep bersedekah serta eratkan silaturahim di kalangan penduduk kampung. Memasuki 6 Ramadan, kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Demak Laut mula dimeriahkan dengan Program Kembara Ramadan membuat bubur lambuk yang menjadi amalan tradisi di kawasan ini.

Selepas empat buah kampung di kawasan Tabuan pada Khamis lepas, Program Kembara Ramadan meneruskan aktivitinya di empat buah kampung meliputi Kampung Sejingkat, Kampung Goebilt, Kampung Muara Tebas dan Taman Sepakat Jaya, semalam. Khamis lepas kira-kira 1,600 bungkus bubur lambuk telah diagihkan kepada penduduk-penduduk di kawasan Tabuan merangkumi Kampung Tabuan Dani, Kampung Tabuan Lot, Kampung Tabuan Tengah dan Kampung Tabuan Hilir.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Demak Laut Dr Hazland Abang Hipni sendiri turun padang membantu mengagihkan bubur lambuk ini kepada Ketua Masyarakat, wakil-wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan masyarakat kampung. Manakala di Kampung Sejingkat hari ini, sebanyak 350 bungkus bubur lambuk telah dihasilkan dan telah diagihkan sendiri ADUN Demak Laut Dr Hazland Abang Hipni dan dibantu wakil-wakil NGO di kampung tersebut.

Sebanyak 350 bungkus bubur lambuk telah dihasilkan dan telah diagihkan sendiri ADUN Demak Laut Dr Hazland Abang Hipni dan dibantu wakil-wakil NGO di Kampung Sejingkat

Pada majlis yang sama, Dr Hazland turut menyampaikan sumbangan kepada Masjid Darul Ehsan sebanyak RM10 ribu dan Surau Al-Abrar sebanyak RM6 ribu yang akan digunakan untuk mengimarahkan aktiviti di bulan Ramadan dan sepanjang tahun ini. Selepas itu, Dr Hazland bergerak ke Kampung Goebilt bagi meneruskan penyampaian bubur lambuk kepada penduduk. Selesai di Kampung Goebilt, aktiviti pengagihan bubur lambuk diteruskan di Kampung Muara Tebas yang sedia menunggu.

Taman Sepakat Jaya menjadi destinasi seterusnya Program Kembara Ramadan sebelum menghadiri Jerayawara Bubur Lambuk SABERKAS – BERNAS 2019 di Masjid Darul Hana. Di Taman Sepakat Jaya, Dr Hazland turut menyampaikan sumbangan peruntukan kepada Surau Taman Sepakat Jaya berjumlah RM6 ribu yang juga digunakan untuk mengimarahkan surau dengan aktiviti di sepanjang bulan Ramadhan tahun ini.

Ini merupakan program tahunan yang telah diadakan sejak 2011 lagi yang diadakan mengikut giliran di seluruh 28 kampung di dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Demak Laut. Menurut Dr Hj Hazland, ini merupakan program tahunan ADUN Demak Laut bersama dengan setiap Ranting PBB, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan penduduk kampung di kawasan DUN Demak Laut bagi meraikan bulan Ramadan selain meneruskan konsep bersedekah.

“Menjadi aktiviti tahunan kami di DUN Demak Laut setiap kali di bulan Ramadan. Selain mengeratkan silaturahim di kalangan penduduk kampung, aktiviti membuat dan mengagihkan bubur lambuk ini juga meneruskan konsep bersedekah di sepanjang bulan Ramadan,” katanya yang gembira melihat aktiviti ini berjaya mencapai objektifnya.

Penyediaan bubur lambuk memerlukan kerjasama kerjasama ramai pihak khususnya dalam menyediakannya dalam kuantiti yang banyak selain memerlukan masa yang lama

Beliau turut memberitahu selepas ini agihan bubur lambuk akan diteruskan di beberapa buah kampung dalam kawasan DUN Demak Laut.”Kita baru sahaja memasuki 6 Ramadan dan Program Kembara Ramadan ini akan kita teruskan di beberapa lagi kampung di sepanjang Ramadan ini,” tambahnya. Ditanya mengapa memilih bubur lambuk, Dr Hj Hazland berkata bubur lambuk ini selain mudah disediakan ianya juga menjadi menu wajib di bulan Ramadan ini.

“Bubur lambuk sangat sinonim dengan masyarakat Melayu di Sarawak termasuklah di kawasan DUN Demak Laut.Penyediaan bubur lambuk ini tidak sukar, tetapi memerlukan kerjasama ramai pihak khususnya dalam menyediakannya dalam kuantiti yang banyak selain memerlukan masa yang lama,” jelasnya.

Dr Hazland turut membantu mengagihkan bubur lambuk yang telah masak ke dalam bekas untuk diagihkan kepada penduduk kampung

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here