Program Cahaya Ramadhan & Jejak Gawai 2019, PPU Hulur Sumbangan kepada Pelajar UNIMAS dan Komuniti Setempat

0
433
Sesi penyerahan sumbangan duit raya kepada sepuluh pelajar UNIMAS B40.

Kota Samarahan, 24 Mei 2019 (SNN) – Persatuan Pengurus Universiti Malaysia Sarawak (PPU) telah mengadakan Program Cahaya Ramadhan & Jejak Gawai 2019 kelmarin (23 Mei 2019) bertempat di UNIMAS dan Kampung Sebayor, Kota Samarahan.

Program amal sempena Ramadhan dan Gawai ini merupakan salah satu inisiatif tanggungjawab sosial korporat yang dianjurkan oleh PPU bagi membantu golongan pelajar B40 UNIMAS, selain bertujuan untuk berkongsi rezeki kepada warga komuniti terdekat UNIMAS iaitu Kampung Sebayor.

Haji Valentino Abu Bakar selaku Exco Hubungan Ahli dan Kebajikan PPU, yang juga mewakili Encik Zulkarnaen Ali, Presiden PPU dalam ucapan aluan beliau berharap agar sumbangan duit raya setiap seorang pelajar B40 UNIMAS akan dapat meringankan beban persiapan kelengkapan Aidilfitri bagi 10 orang pelajar terpilih ini.

“Manakala sumbangan hamper kepada 10 keluarga terpilih Kampung Sebayor pada tahun ini sempena perayaan Hari Gawai pula mencerminkan komitmen universiti ini dalam memenuhi tanggungjawab sosial terhadap komuniti, selain menyemarakkan budaya bersyukur serta berkongsi rezeki dalam kalangan warga UNIMAS kepada komuniti setempat. Ini juga selari dengan hasrat Naib Canselor UNIMAS, YBhg Prof Datuk Dr Mohamad Kadim Suaidi agar kehadiran UNIMAS terus dirasai masyarakat sekeliling,” ujarnya lagi pada Sesi Jejak Gawai 2019 bersama komuniti Kampung Sebayor, hari ini.

Selain sumbangan dana daripada para Pegawai Pengurusan dan Profesional UNIMAS, Program Cahaya Ramadhan & Jejak Gawai 2019 ini turut menerima sumbangan dana daripada beberapa pihak luar antaranya Innoniaga (M) Sdn. Bhd. dan The Zoticus Company.

Sesi penyerahan sumbangan hamper kepada keluarga terpilih di Kampung Sebayor, Kota Samarahan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here