Bumiputera Sarawak Masih Perlukan Kuota Matrikulasi

0
216
Kampus utama Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Kota Samarahan

Kota Samarahan, 22 Mei 2019 (SNN) – Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) menyokong pernyataan Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik berhubung dengan mempertahankan kuota 90 peratus kemasukan bumiputera ke matrikulasi dan YBhg Profesor Datuk Mohamad Kadim Suaidi, Naib Canselor UNIMAS sendiri turut menyatakan Bumiputera Sarawak masih perlukan kuota matrikulasi.

Jelas beliau, lebih dua dekad yang lalu, program matrikulasi telah diwujudkan di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia. Asas pembentukan program ini bertujuan untuk meningkatkan jumlah pelajar bumiputera yang cemerlang, mengisi kekosongan tempat dalam bidang pengajian sains, professional dan kritikal di Universiti Awam. Selain itu, program persediaan ini juga bermatlamat untuk melahirkan modal insan yang cemerlang, khususnya dalam kalangan anak-anak bumiputera agar dapat memenuhi aspirasi negara menjelang 2020.

Pada awal penubuhan, program matrikulasi hanya dibuka kepada pelajar bumiputera sahaja. Namun pada Sesi 2003/2004, kerajaan telah membuka kuota 10% kepada pelajar bukan bumiputera untuk mengikuti program ini. Melihat kepentingan serta permintaan yang tinggi terhadap program matrikulasi, YB Dr Maszlee Malik, Menteri Pendidikan Malaysia telah mengumumkan pertambahan sebanyak 15,000 tempat kepada pelajar lepasan SPM 2018. Daripada jumlah tersebut, 36,000 tempat telah diperuntukkan kepada pelajar bumiputera, manakala selebihnya untuk pelajar bukan bumiputera. Pertambahan tersebut jelas membuktikan bahawa Kementerian Pendidikan Malaysia sentiasa peka dalam menyediakan ruang pendidikan prauniversiti terbaik kepada anak-anak Malaysia.

Dalam konteks Sarawak, pertambahan tempat serta pengekalan kuota bumiputera di kolej matrikulasi pada era Malaysia Baharu, merupakan suatu perkara yang amat dialu-alukan. Hal ini penting kerana dalam tempoh 56 tahun selepas pembentukan Malaysia, anak-anak bumiputera di Sarawak masih jauh ketinggalan berbanding rakan-rakan mereka di Semenanjung Malaysia.

Sehubungan itu, tindakan YB Dr Maszlee Malik mempertahankan status quo program ini bukan sahaja bertepatan dengan objektif utama penubuhan program matrikulasi, tetapi turut memberi impak yang cukup besar dalam pembangunan modal insan anak-anak bumiputera di Sarawak. Seandainya program ini dibuka kepada semua, bagimanakah nasib anak-anak Sarawak yang kini masih belajar di sekolah-sekolah usang yang serba kekurangan? Adakah adil bagi mereka bersaing dengan pelajar-pelajar lain yang mempunyai kemudahan dan sumber pendidikan terbaik di bandar, untuk memasuki program matrikulasi?

Di Sarawak, dianggarkan sebanyak 1,000 daripada 1,457 sekolah di negeri ini dikenal pasti sebagai usang menurut Jabatan Pendidikan Sarawak. Bukan setakat usang, di antara sekolah-sekolah ini juga tiada belakan elektrik, air bersih, jalan raya mahupun jaringan internet. Keadaan ini jelas memperlihatkan betapa sukarnya alam persekolahan anak-anak bumiputera di Sarawak. Oleh itu, sebelum sesuatu perubahan kuota dalam program matrikulasi dilakukan, perkara utama ini perlu difikirkan dan diselesaikan terlebih dahulu.

Selain itu, penetapan kuota bumiputera dalam konteks Sarawak bukan berniat untuk menidakkan pencapaian cemerlang pelajar-pelajar kaum lain, namun perkara ini menjadi tanggungjawab utama pihak kerajaan dalam menjaga hak dan kepentingan kaum bumiputera yang masih jauh ketinggalan. Justeru, dengan adanya peluang pendidikan matrikulasi, anak-anak bumiputera Sarawak akan dapat keluar daripada kepompong kemiskinan serta menjadi tenaga pakar di Bumi Kenyalang.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here