Mulai 25 Mei – 16 Jun 2019, Perkhidmatan Feri Ditambah Serta Masa Operasi Feri Turut Dilanjutkan Sempena Gawai dan Raya

0
852
Keadaan dalam feri Sebuyau/Triso yang sentiasa sesak dengan kenderaan terutama semasa musim perayaan

KUCHING, 23 Mei 2019 (SNN)- Sempena sambutan Hari Gawai Dayak dan Hari Raya Aidilfitri yang kunjung tiba, kerajaan Sarawak telah bersetuju untuk menambah bilangan feri dan melanjutkan masa operasi perkhidmatan feri bermula 25 Mei hingga 16 Jun ini.

Menteri Muda Pembangunan Jalan Pesisir, Datuk Julaihi Narawi berkata, pertambahan perkhidmatan feri termasuk masa operasi feri itu melibatkan tujuh pengkalan feri di sekitar jalan pesisir di negeri ini.

Menurutnya, menerusi inisiatif dalam tempoh tiga minggu itu, beliau yakin ia dapat menampung jumlah kenderaan yang semakin banyak menggunakan perkhidmatan feri selain mengurangkan masa menunggu khususnya pada waktu puncak.

Beliau berkata demikian dalam sidang media berkenaan pertambahan feri dan perlanjutan masa operasi perkhidmatan feri sempena musim perayaan Gawai Dayak dan Hari Raya Aidilfitri 2019, hari ini.

Datuk Julaihi menambah, antara pengkalan feri yang terlibat ialah, Feri Sebuyau/Triso, Feri Batang Saribas/ Feri Sungai Sian, Feri Batang Lawas, Feri Muara Lassa, Feri Batang Paloh dan Feri Kuala Igan.

Jelas beliau, kesemua pengkalan feri itu akan ditambah perkhidmatan feri kecuali di pengkalan Feri Batang Saribas di atas faktor sumber tenaga kerja yang tidak mencukupi.

Sementara itu, beliau menasihatkan para pengguna yang menggunakan perkhidmatan feri di seluruh negeri agar sentiasa mematuhi peraturan keselamatan feri dan memberi kerjasama supaya tidak memotong barisan serta mengikut arahan krew feri yang bertugas terutama semasa kenderaan keluar masuk feri. Sumber UKAS.

Julaihi Narawi semasa  sidang media berkenaan pertambahan feri dan perlanjutan masa operasi perkhidmatan feri sempena musim perayaan Gawai Dayak dan Hari Raya Aidilfitri 2019 (Foto- Ukas )

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here