Perniagaan Mampu Meningkatkan Pendapatan Keluarga

0
533
Awang Tengah bersama masyarakat Limbang di Majlis Sejambak Kasih Gawai Raya Bahagian Limbang 2019 di Hotel Sri Malaysia

LIMBANG, 13 Mei 2019 (SNN)- Perniagaan mampu meningkatkan pendapatan keluarga. Justeru rakyat digesa untuk sama-sama bangkit dengan memulakan perusahaan kecil-kecilan dalam usaha meningkatkan pendapatan keluarga. 

Timbalan Ketua Menteri Sarawak YB Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata ke arah usaha ini, Kerajaan Sarawak menerusi Kementerian Pembangunan Perindustrian dan Usahawan Sarawak telah menganjurkan seminar dan kursus-kursus perniagaan di daerah Lawas.

“Semua ini adalah bertujuan untuk meningkatkan keupayaan dalam pendidikan asas sebagai landasan penting agar dapat bersaing dalam bidang perniagaan dan perusahaan khasnya untuk wanita agar mereka dapat berdiri di atas kaki sendiri,” katanya. 

Beliau berkata demikian semasa berucap di Majlis Sejambak Kasih Gawai Raya Bahagian Limbang 2019 di Hotel Sri Malaysia, semalam. Awang Tengah juga berharap rakyat bangkit dan berusaha gigih dalam meningkatkan pendapatan keluarga masing-masing. “Rakyat perlu gigih berusaha untuk memulakan perniagaan kecil-kecilan kerana ia akan meningkatkan pendapatan dalam keluarga masing-masing dan jangan terlalu bergantung kepada bantuan daripada kerajaan,” tambahnya.

Sementara itu, Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak YB Dato Sri Fatimah Abdullah menjelaskan Sejambak Kasih Gawai Raya merupakan program tahunan Kerajaan Sarawak khas untuk mereka yang memerlukan.“Program ini merupakan program tahunan Kerajaan Sarawak yang dianjurkan setiap kali musim perayaan dan dianjurkan di bawah Kementerian Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak dengan menggunakan peruntukan negeri. Objektifnya ialah bertujuan meringankan beban kewangan serta meceriakan penerima bantuan menjelang sambutan perayaan seperti Gawai Raya ini,” katanya. 

Di Limbang, seramai 3,350 orang penerima bantuan bulanan yang dibahagikan mengikut kategori yang melibatkan kos yang tinggi, tetapi Kerajaan Sarawak tetap membantu mereka yang memerlukan. 

Dalam majlis itu, seramai 200 orang penerima menerima sumbangan wang tunai manakala mereka yang tidak hadir sumbangan ini akan dikreditkan ke dalam akaun masing-masing.

Hadir sama pada majlis tersebut, Pemangku Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak Joni Nuruddin, Residen Bahagian Limbang Ir. Ahmad Denney Ahmad Fauzi, Pegawai Daerah Lawas, Temenggong Sebli Hamid, Ketua-ketua Jabatan dan Ketua-ketua Masyarakat.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here