Perahu Naga bakal ‘membelah’ Tasik UNIMAS Sempena UNIMAS International Regatta 2019

0
171
Tasik UNIMAS untuk UNIMAS International Regatta 2019.

KOTA SAMARAHAN, 16 Oktober 2019 (SNN) : Buat julung kalinya, Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) akan menganjurkan UNIMAS International Regatta 2019 bertempat di Tasik UNIMAS bermula pada 19 hingga 20 November 2019.

Antara kategori yang dipertandingkan adalah kategori Perahu Naga Lelaki IPT (12 pekayuh), Perahu Naga Campuran IPT (12 pekayuh; 8 lelaki + 4 wanita), Kayak Perseorangan Lelaki 200m, Kayak Perseorangan Wanita 200m,  Kayak Bergu Lelaki 200m, Kayak Bergu Wanita 200m, Kayak Bergu Campuran 200m, Kayak Perseorangan Lelaki 500m, Kayak Perseorangan Wanita 500m, Kayak Bergu Lelaki 500m, Kayak Bergu Wanita 500m dan  Kayak Bergu Campuran 500m.

Pengerusi jawatankuasa penganjur UNIMAS International Regatta 2019, Prof. Dr Azhaili bin Baharun berkata, sebanyak enam Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan IPT dari luar negara serta jemputan untuk kategori kayak (NGO dan sekolah) telah mengesahkan penyertaan.

Perlumbaan yang dinanti-nantikan ini nanti akan menyaksikan empat (4) IPT yang akan berentap dalam kategori Perahu Naga iaitu Universiti Brunei Darussalam (Brunei), Universiti Tanjung Pura (Indonesia), Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) dan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Sarawak. Manakala acara Kayak Terbuka akan menyaksikan  kayuhan padu daripada peserta-peserta yang mengambil bahagian mewakili pasukan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Universiti Teknologi Mara (UiTM) Sarawak, Universiti Malaysia Sabah Kampus Labuan (UMSKAL), Sarawak Sports Corporation (SSC) dan orang perseorangan.

Perahu Naga yang akan digunakan untuk UNIMAS International Regatta 2019.
Tasik UNIMAS. Medan pertarungan yang akan menyaksikan perebutan gelaran Juara sempena UNIMAS International Regatta 2019.

Beberapa pasukan telah pun menjalani latihan di tasik UNIMAS sebagai persiapan dan pastinya setiap kumpulan akan berusaha keras untuk muncul sebagai johan Perahu Naga IPT dan IPT Campuran dengan jarak laluan sejauh 500 meter.

“ Kita berharap dengan penganjuran kali ini dapat menarik lebih banyak penyertaan dalam kalangan IPT tempatan dan antarabangsa serta orang ramai pada masa yang akan datang selain membuka peluang kepada para peserta berpeluang merasai pengalaman bertanding di Tasik UNIMAS dan menggunakan kemudahan sukan air di Bot House, Pusat Sukan UNIMAS,” kata Prof. Dr Azhaili bin Baharun

Manakala Encik Ealfy Graggory Dullie, selaku Pengurus Pasukan UNIMAS berkata, Pasukan Perahu Naga dan pasukan kayak UNIMAS di bawah bimbingan jurulatih Encik Hamdan Mohamad yang juga merupakan bekas atlet kayak kebangsaan Sukan SEA (2011, 2013 dan 2015) telah menjalani latihan intensif dan persiapan rapi untuk menghadapi kejohanan ini.

Dengan reputasi cemerlang pasukan kayak UNIMAS dalam Sukan Air Rowing-MASUM 2019 dan acara Perahu Naga di Pesta Air Putrajaya 2019, pastinya kejohanan ini akan menjadi medan pertarungan bagi membuktikan kehebatan mereka di air apatah lagi apabila bertanding di laman sendiri.

Naib Canselor UNIMAS, YBhg. Profesor Datuk  Dr Mohamad Kadim Suaidi dijangka akan hadir untuk Majlis Penutupan dan Penyampaian Hadiah UNIMAS International Regatta 2019.

Poster UNIMAS International Regatta 2019.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here