Peniaga Digalak Bangunkan Produk Warisan Kampung Sarawak

0
712
Abang Jo dan isteri Hajjah Juma'ani, semasa Majlis Pelancaran Produk Warisan Kampung di Pasar Raya Mydin Petra Jaya, Kuching

KUCHING, 13 Mei 2019 (SNN)- Peniaga digalak untuk membangunkan produk warisan kampung Sarawak. Dalam masa yang sama Kerajaan Sarawak akan memberi sokongan terhadap usaha dalam membangunkan produk warisan Sarawak ini.

Ketua Menteri Sarawak YAB Datuk Patinggi (Dr.) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata Sarawak mempunyai banyak produk warisan yang berpotensi untuk diketengah dan dipasarkan. 

“Produk acar limau hanya boleh dinikmati di majlis perkahwinan sahaja termasuk juga kuih-muih tradisi seperti kek hati parek, kuih cincin dan banyak lagi. Kita mesti mesti memperkenalkan produk-produk warisan dari kampung dengan cara untuk dipasarkan.

“Jika dapat dibangunkan dan mempunyai nilai tinggi, maka sudah pasti ia akan dapat dipasarkan sehingga ke luar negara,” katanya ketika berucap di Majlis Pelancaran Produk Warisan Kampung di Pasar Raya Mydin Petra Jaya di sini, semalam.

Abang Jo menambah melalui usaha membangunkan produk warisan Sarawak, ia secara tidak langsung dapat membantu menjana pendapatan tambahan kepada penduduk kampung. Dengan kerjasama yang dijalinkan semua pihak termasuk Mydin, kita berharap produk warisan Sarawak ini dapat dibangun dan diperluaskan pasarannya sehingga ke Semenanjung Malaysia,” tambahnya.

Terdahulu pengerusi pengelola Abdul Samat Ghani berkata, program berkenaan adalah untuk memberi peluang kepada pengusaha produk warisan kampung di Sarawak memasarkan produk di bawah jenama Old Kuching Kampung Heritage.“Untuk fasa permulaan ini, sebanyak 12 produk daripada sembilan pengusaha akan dipasarkan di Mydin. Produk ini antaranya bumbu pedas, kacang bersalut, acar limau, kuih sepit asli, kuih sepit berinti kacang, kuih sepit berinti coklat, kek hati parek, kek buah, sambal tumis ikan bilis, pitis buah, kuih cincin dan rempah masak hitam,” katanya. 

Sementara bagi fasa seterusnya, produk-produk lain akan dibantu dipasarkan ke Pasar Raya Mydin.“Menerusi kerjasama ini diharap produk warisan kita akan dapat berkembang dan mampu bersaing dengan produk lain di pasaran,” jelasnya.

Turut hadir isteri Ketua Menteri Sarawak Datuk Amar Hajjah Juma’ani Tun Tuanku Haji Bujang, Timbalan Setiausaha Negeri Sarawak, Datu Sabariah Putit, Naib Canselor Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) Profesor Datuk Dr Mohamad Kadim Suaidi dan Pengurus Projek Mydin Ganesh Chinniah.

Kek hati parek Sarawak merupakan salah satu produk warisan Sarawak yang boleh diketengahkan dan dibangunkan secara lebih meluas

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here