More
    Home Sarawak Betong Penduduk Kabong Dapat Masjid Baru RM14 Juta

    Penduduk Kabong Dapat Masjid Baru RM14 Juta

    KABONG, 04 Oktober 2019 (SNN)– Yang Berhormat Encik Mohd Chee Bin Kadir, ADUN N.40 Kabong hari ini berkesempatan bersama Tuan Yang Terutama Yang Di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Haji Abdul Taib Bin Mahmud menunaikan solat fardhu Jumaat secara berjemaah di Masjid As-Sabirin, Kabong.

    Kehadiran  Tun Pehin Sri Haji Abdul Taib Bin Mahmud disambut lebih 1000 orang penduduk Kabong yang kemudiannya turut menunaikan sembahyang Jumaat bersama-sama. Turut hadir  bersama ialah Yang Berhormat Datuk Dr Haji Abdul Rahman Bin Junaidi, Menteri Muda Di Jabatan Ketua Menteri (Hal Ehwal Islam) dan Menteri Muda Utiliti Sarawak (Bekalan Air) yang mengiringi Tuan Yang Terutama Yang Di-Pertua Negeri Sarawak dari Kuching.

    Tidak ketinggalan hadir sama adalah Yang Berhormat Datuk Haji Abdul Wahab Bin Aziz (ADUN N.38 Kalaka) merangkap Pengerusi Lembaga Pelancongan Negeri Sarawak, Yang Berbahagia Datu Haji Misnu Bin Haji Taha, Yang Di-Pertua Majlis Islam Sarawak dan tetamu jemputan yang lain.

    Dalam ucapannya  pada majlis tersebut,  ADUN N.40 Kabong, Mohd Chee Kadir melahirkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua pihak, khususnya kerajaan GPS yang meluluskan peruntukan bagi masjid baru Kabong di tapak baru berjumlah RM14 juta.

    “Masjid sekarang ini hanya boleh memuatkan kira-kira 700-850 orang jemaah di bahagian dalam masjid, manakala 400-500 orang jemaah sahaja di luar masjid. Namun keadaan akan bertambah sesak apabila menjelang musim perayaan seperti Hari Raya Aidilfitri dan Hari Raya Aidiladha, sehingga tidak dapat menampung jumlah jemaah yang semakin meningkat”, ujar Mohd Chee Kadir.

    Tun Pehin Sri Haji Abdul Taib Bin Mahmud disambut lebih 1000 orang penduduk Kabong di Masjid As-Sabirin, Kabong.

    Mohd Chee Kadir juga menambah,kelulusan bagi pembinaan masjid baru Kabong itu adalah bukti keprihatinan kerajaan untuk meningkatkan lagi syiar Islam di negara ini. Beliau serta seluruh masyarakat Kabong merakamkan setinggi penghargaan dan terima kasih kepada Kerajaan GPS yang telah meluluskan peruntukan tersebut.

    Beliau juga berharap agar penduduk kampung dapat mengimarahkan lagi masjid baru nanti dengan pelbagai program dan aktiviti ilmu yang bermanfaat untuk seluruh warga Kabong terutamanya.

    Mohd Chee Kadir juga mengambil peluang mengucapkan Selamat Hari Jadi kepada Tun Pehin Sri Haji Abdul Taib Bin Mahmud yang akan disambut pada 12 Oktober ini. Beliau juga mewakili seluruh rakyat Kabong mendoakan agar Tun Pehin Sri Haji Abdul Taib Bin Mahmud sentiasa dilindungi Allah SWT.

    Pada majlis ini, Tuan Yang Terutama Tun Pehin Sri Haji Abdul Taib Bin Mahmud juga telah menyampaikan sumbangan berjumlah RM50,000 kepada Jawatankuasa Masjid dan Surau di Daerah Kabong yang diterima sendiri oleh ADUN Kabong, Mohd Chee Kadir. Sumbangan tersebut akan diagihkan untuk  manfaat dan aktiviti surau dan masjid di Daerah Kabong.

    Tun Pehin Sri Haji Abdul Taib Bin Mahmud menunaikan solat fardhu Jumaat secara berjemaah di Masjid As-Sabirin, Kabong.
    Tun Pehin Sri Haji Abdul Taib Bin Mahmud menyampaikan sumbangan berjumlah RM50,000 kepada Jawatankuasa Masjid dan Surau di Daerah Kabong yang diterima sendiri oleh ADUN Kabong, Mohd Chee Kadir.

    Leave A Reply

    Please enter your comment!
    Please enter your name here

    Must Read

    Bekalan tenaga elektrik di Bintulu akan dinaikkan kepada 1,500 MW secara...

    0
    BINTULU, 17 APRIL 2024: Bekalan tenaga elektrik di Bintulu akan ditingkatkan kepada sebanyak 1,500 megawatt secara berperingkat menjelang 2028. Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri...