Banglo Dijadikan Premis Judi Atas Talian, 16 Warga China Ditahan

0
69
16 lelaki warga China berusia antara 19 hingga 40 tahun, dipercayai bekerja dengan sindiket perjudian yang menyewa banglo sebagai markas operasi mereka ( Foto: Media Prima )

KUALA LUMPUR, 2 Oktober 2019 (SNN)– Sebuah banglo dua tingkat di Bukit Gita Bayu, Seri Kembangan dekat sini diserbu malam tadi selepas risikan polis mendapati premis itu dijadikan markas judi dalam talian antarabangsa sejak sebulan lalu.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd Yussof, berkata dalam serbuan jam 10 malam oleh sepasukan anggota Cawangan Anti Maksiat, Judi dan Gangsterisme (D7) Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang itu, 16 lelaki warga China berjaya ditahan.

Katanya, sebelum serbuan dilakukan, anggota polis yang membuat intipan mendapati sekumpulan lelaki sedang sibuk menjalankan urus niaga perjudian dalam talian dengan menggunakan telefon bimbit dan komputer dalam banglo berkenaan.

“Menerusi serbuan itu, kita tahan 16 lelaki warga China berusia antara 19 hingga 40 tahun, dipercayai bekerja dengan sindiket perjudian yang menyewa banglo terbabit sebagai markas operasi mereka.

“Semakan mendapati hanya seorang daripadanya mempunyai dokumen perjalanan atau pas lawatan sosial sah, selebihnya tiada dokumen pengenalan diri atau dokumen perjalanan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Katanya lagi, polis turut merampas 16 unit komputer riba pelbagai jenama, 26 unit telefon bimbit pelbagai jenama serta dua unit modem pelayaran internet.

‘Soal siasat awal mendedahkan pusat judi dalam talian ini sudah beroperasi selama satu bulan.

“Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 4(1) Akta Pertaruhan 1953,” kata Ahmad Dzaffir.

Kata beliau, orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kegiatan perjudian dalam talian dan lain-lain kegiatan seumpamanya diminta menyalurkan maklumat kepada polis atau mana-mana balai terdekat.

Sumber : NST, Star Online, Media Prima

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here