Kongres Maruah Melayu Beri Amaran Tentang Kontrak Sosial

0
182
Antara sebahagian yang hadir pada Kongres Maruah Melayu hari ini di Stadium Melawati, Shah Alam ( Foto: FB)

SHAH ALAM, 06 Oktober 2019 (SNN): Ketua penganjur Kongres Maruah Melayu hari ini, Zainal Kling mengingatkan kaum lain negara ini tentang kontrak sosial mereka dengan orang Melayu dengan berkata, ia merupakan asas mereka diberikan kerakyatan yang boleh “digantung” sekiranya perjanjian itu dilanggar.

Memetik ayat al-Quran, Zainal Kling berkata, orang Melayu yang “mewarisi negara ini sejak lebih 5,000 tahun”, boleh membatalkan kontrak sosial dengan orang bukan Melayu, selain menambah mereka merupakan pemilik sah negara ini.

“Remehkan perjanjian ini kontrak dalam perlembagaan itu, mari kita ingatkan, dalam Al-Quran surah Al Taubah, ayat 3 dan 4 membenarkan kita untuk menggantung perjanjian itu.

“Firman Allah maksudnya, ‘dan khabarkanlah wahai orang beriman kepada orang kafir, bahawa mereka akan ditimpa azab yang tidak terperi sakitnya. Kecuali yang kamu perjanjian dari orang Muslim kemudian tidak mencabuli perjanjian mereka,” kata beliau.

Beliau berkata demikian di hadapan hadirin yang berhimpun di Stadium Malawati di sini, dengan Perdana Menteri Dr  Mahathir Mohamad dijadualkan menyampaikan ucaptama beliau. Turut hadir pemimpin Umno dan PAS.

Zainal berkata, orang Islam dibenarkan menamatkan perjanjian dengan orang bukan Islam sekiranya mereka melanggar syarat perjanjian.

Beliau berkata, Malaysia adalah negara orang Melayu sebagaimana Thailand merupakan negara orang Thai, China untuk orang Cina dan India negara orang India.

Kata beliau ada pihak yang juga merendah-rendahkan agama Islam dan mempermain-mainkan orang Melayu.

“Namun dalam budi baik ada orang ingin mempermainkan kita, mengusik maruah kita, merendahkan agama Islam, mengeji raja kita kedudukan kita, mereka berpaling tadah, kontrak sosial yang telah bina perundangan asas negara kita, iaitu perlembagaan.

Sejarah lalu, sering langgar baik budi kita dan ada yang menafikan kontrak sosial.

“Maka kerana ada ura-ura untuk ringankan, rendahkan kontrak sosial ini, maka bangsa Melayu ingatkan diri kita semua warganegara Malaysia bahawa dalam Perlembagaan kita asas perkara tersebut bahawa agama persekutuan Islam dalam perkara 3. Lebih besar agama Persekutuan, dengan orang lain amalkan dengan harmoni,” kata beliau lagi.

Kongres Maruah Melayu merupakan anjuran bersama Universiti Malaya (UM), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Universiti Teknologi MARA (UiTM).

Penganjur berkata, ia akan memberi tumpuan kepada masalah yang dihadapi orang Melayu dalam bidang pendidikan, agama, kebudayaan dan ekonomi.

Antara beberapa pemimpin Melayu yang turut hadir termasuk Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad, Presiden PAS Abdul Hadi Awang, Setiausaha Agung Umno Annuar Musa, Hishammuddin Hussein serta beberapa pemimpin yang lain (Foto : FB)

Apa Yang Dimaksudkan Dengan Kontrak Sosial?

Kontrak sosial adalah persetujuan yang dicapai sebelum merdeka di kalangan para pemimpin Melayu, Cina dan India dan parti-parti yang mereka wakili, UMNO, MCA dan MIC. Bagaimanapun, kontrak sosial harus dianggap sebagai satu persetujuan di kalangan masyarakat berbilang kaum, bukan hanya pemimpin atau kumpulan elit tertentu. Permuafakatan itu mendapat sokongan rakyat sebagaimana yang terbukti melalui kemenangan Perikatan dalam pilihan raya 1955. Rakyat perlu memahami fakta sejarah bahawa kontrak sosial dicapai melalui proses muafakat dan musyawarah.

Apakah Yang Membawa Kepada Wujudnya Kontrak Sosial?

Ketika Tanah Melayu inginkan kemerdekaan, British telah menawarkan dua pilihan kepada rakyat bukan kaum pribumi atau imigran ( China dan India ), iaitu sama ada ingin menjadi warganegara British atau kembali kepada negara ibunda/ asal mereka.

Tetapi pada masa tersebut, beberapa pemimpin bukan kaum Pribumi iaitu pemimpin Cina dan India telah merayu kepada British untuk menerima mereka sebagai sebahagian rakyat Tanah Melayu. Maka, British menyerahkan urusan ini kepada Tunku untuk menyelesaikannya sebagai prasyarat kemerdekaan.

Maka dalam rundingan itu, kedua-dua pihak iaitu kaum pribumi diwakili Tunku dan wakil-wakil raja Melayu dan kaum bukan pribumi diwakili Tun Tan Cheng Lock dan Tun VT Sambathan bersetuju untuk memeterai satu perjanjian persefahaman ke arah kemerdekaan Tanah Melayu. Perjanjian persefahaman kemerdekaan (kontrak sosial) ini dilaksanakan dalam Rombongan Kemerdekaan menaiki kapal laut pada 1956.

Kemerdekaan Tanah Melayu atau Malaya berjaya direalisasikan kerana kemerdekaan negara ini diperoleh dengan perjanjian persefahaman atau kontrak sosial ini. Begitu juga pembentukan Malaysia melalui perjanjian bersama dengan Sabah, Sarawak dan Singapura yang dikenali sebagai Perjanjian 1963.

Perjanjian 1963 terbatal apabila Singapura keluar dari Malaysia. Terkeluarnya Singapura menyebabkan beberapa pindaan dilakukan ke atas Perjanjian 1963. Yang kekal ialah Perjanjian 20 Perkara yang melibatkan kerajaan Persekutuan Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak dan bukannya Perjanjian 1963.

Adakah Kontrak Sosial Terkandung Dalam Perlembagaan?

Kontrak sosial bukan istilah yang wujud dalam Perlembagaan Persekutuan pada tahun 1957 tetapi permuafakatan yang mewakili semangat Perlembagaan. Dengan adanya kontrak sosial ketika proses ke arah mencapai kemerdekaan, usaha telah dapat dilakukan untuk menggubal Perlembagaan. Ia merupakan muafakat antara kaum yang mewarnai Perlembagaan, persepakatan yang diterjemahkan ke dalam Perlembagaan. Walaupun istilah kontrak sosial tidak ada dalam Perlembagaan tetapi semangatnya ada pada ciri-ciri perlembagaan itu.

Apakah Perkara Penting Perlu Difahami Dalam Kontrak Sosial?

Rakyat Malaysia perlu memahami kontak sosial dengan jelas berdasarkan kepada fakta sejarah. Kontrak sosial harus difahami sekurang-kurangnya tentang hubung kaitnya kepada empat perkara utama iaitu – perlembagaan, kemerdekaan, hubungan kaum dan sistem pemerintahan negara. Tanpa kontrak sosial mungkin kita tidak dapat mencapai kemerdekaan pada tahun 1957 kerana pihak British ketika itu menjadikan permuafakatan itu sebagai prasyarat. Kontrak sosial adalah anak kunci kepada hubungan kaum sebagaimana yang termaktub dalam perlembagaan. Kontrak sosial juga asas kepada sistem pemerintahan yang menjadikan kita negara demokrasi berparlimen raja berperlembagaan dengan konsep negeri dan persekutuan.

Sumber :Free Malaysia, MK, TWN

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here