Pendekatan Rumah Ke Rumah Kaedah Baru Yang Berkesan Untuk GPS Dekati Rakyat

0
461
Dr Hazland semasa Pelancaran Gabungan Parti Sarawak (GPS) Peringkat Ranting Muara Tebas dan Penjelasan Isu-Isu Semasa yang diadakan di Dewan Masyarakat Kampung Muara Tebas di sini, Ahad lepas

KUCHING, 20 Ogos 2019 (SNN)– Berjumpa, bertanya khabar dan mendengar sendiri keluhan rakyat mengenai isu-isu di peringkat kampung semasa menyampaikan kit Gabungan Parti Sarawak (GPS) seperti baju, topi dan beg kepada penduduk kampung dari rumah ke rumah merupakan kaedah baharu yang diterapkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Demak Laut Dr Haji Hazland Abang Haji Hipni.

Menurut Dr Haji Hazland, kaedah ini bukan sahaja mendekatkan pemimpin dengan rakyat, tetapi juga cara terbaik untuk pemimpin mengetahui secara terus permasalahan yang dihadapi rakyat.

Pendekatan rumah ke rumah mampu mendekatkan pemimpin dengan rakyat, juga cara terbaik untuk pemimpin mengetahui secara terus permasalahan yang dihadapi rakyat

“Kita di Dewan Undangan Negeri (DUN) Demak Laut terbuka dalam menggunakan kaedah semasa mempromosikan GPS kepada rakyat termasuk yang dilakukan pada hari ini (Ahad).

“Saya melihat cara ini lebih praktikal untuk kita mempromosikan GPS di peringkat akar umbi supaya mereka mengetahui lebih lanjut berkenaan GPS.

“Turut disertakan ialah risalah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang menjadi tunjang kepada perjuangan GPS dengan menggunakan #SarawakFirst,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas ditemui media pada Pelancaran Gabungan Parti Sarawak (GPS) Peringkat Ranting Muara Tebas dan Penjelasan Isu-Isu Semasa yang diadakan di Dewan Masyarakat Kampung Muara Tebas di sini, Ahad lepas.

Pada majlis itu, sebanyak 500 t-shirt GPS telah diagihkan kepada penduduk-penduduk kampung dan akan disambung dalam masa terdekat termasuk di kampung-kampung lain dalam DUN Demak Laut.

Mengenai Taklimat Penjelasan Isu-Isu Semasa yang diadakan ini, beliau menambah kaedah ini yang kita lakukan sejak akhir tahun 2018 sangat praktikal dan mendapat sambutan yang menggalakkan daripada penduduk kampung dan ahli-ahli parti di peringkat ranting.

“Kita telah laksanakan Taklimat Penjelasan Isu-Isu Semasa sejak akhir tahun lepas dan mendapat sambutan yang menggalakkan daripada penduduk.

“Banyak soalan yang dikemukakan penduduk berkenaan pelbagai isu termasuk isu MA63, isu minyak dan gas, penubuhan GPS, isu manifesto PRU14 dan sebagainya. Ini membuktikan bahawa rakyat hari ini berminat untuk mengetahui jawapan kepada persoalan itu yang sememangnya menjadi asas kepada perjuangan GPS.

“Juga, soalan-soalan yang berkisar dengan masalah setempat seperti projek pembangunan, bantuan baik pulih rumah dan pembukaan penempatan baharu turut menjadi pilihan,” ujarnya.

Beliau turut memberikan respon penerimaan rakyat kepada GPS di kawasan DUN Demak Laut amat memberansangkan.

“Ramai yang sudah mengetahui fungsi dan peranan GPS serta matlamatnya.

“Kita akan teruskan promosikan GPS dan dasar Kerajaan Sarawak yang sedia ada di peringkat akar umbi bagi membolehkan rakyat mengetahui hanya GPS pembela rakyat Sarawak,” ujarnya.

Terdahulu, Dr Haji Hazland bersama belia-belia Kampung Muara Tebas mengelilingi kampung dengan menggunakan motosikal.

Dr Hazland turut mengadakan taklimat isu-isu semasa dan sesi soal jawab bersama penduduk di DUN Demak Laut
Dr Haji Hazland bersama belia-belia Kampung Muara Tebas mengelilingi kampung dengan menggunakan motosikal.
 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here