Pakan akan dibangun sebagai pusat urbanisasi bandar terancang-Ketua Menteri

0
306
Ketua Menteri berucap semasa Majlis Perasmian Jalan Pakan disini semalam.-Sumber gambar Ukas.

PAKAN, 24 JULAI 2020 (SNN) : Kerajaan Sarawak dibawah kepimpinan Gabungan Parti Sarawak (GPS) merancang menjadikan daerah Pakan sebagai pusat urbanisasi bandar terancang dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, Pakan akan disusun semula dengan kelengkapan infrastruktur moden seperti kawasan perumahan, kedai, pusat pemasaran produk pertanian dan kemudahan lain. Penyusunan semula ini akan dibangunkan dalam lingkungan 10 kilometer dari pekan tersebut.

“Kita mendapati Pakan mampu berkembang menjadi sebuah pusat Agropolitan terpenting di wilayah tengah Sarawak dan ianya bersesuaian dengan usaha dalam memantapkan bahagian Sarikei sebagai ‘Food Basket of Sarawak’ menjadi kenyataan,” katanya pada Majlis Perasmian Pembukaan Jalan Pakan/Ulu Kota Pakan (Fasa 2), dekat sini semalam.

Projek Jalan Pakan/Ulu Kota Pakan (Fasa 2) ini bertaraf R3 Standard sepanjang 15.4 kilometer dengan peruntukan sebanyak RM 122.5 juta dan siap sepenuhnya pada 3 Disember 2019 dan dibuka kepada orang ramai.

Ketua Menteri memberitahu, pelaksanaan projek jalan berkenaan telah membuka akses kepada lebih banyak peluang sosioekonomi bagi penduduk kawasan sekitarnya bagi tujuan pertanian dan industri asas tani selain menghubungkan ke beberapa buah sekolah seperti Sekolah Kebangsaan (SK) Sembawang dan SK Nanga Dayu.

Tambahnya, dengan wujudnya akses perhubungan darat di kawasan ini, membolehkan para petani dan pekebun kecil meningkatkan hasil jualan mereka dan menikmati taraf hidup lebih baik.

Ketua Menteri (dua dari kiri) menerima cenderamata dalam Majlis Perasmian Jalan Pakan/Ulu Kota Pakan semalam.

Turut hadir Menteri Muda Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak, Datuk Julahi Narawi yang mewakili Timbalan Ketua Menteri, merangkap Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak, Tan Sri James Datuk Amar Dr. James Jemut Masing, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pakan, Tan Sri William Mawan Ikom, ADUN Meluan, Rolland Duat Jubin, ADUN Repok Dato Sri Huang Tiong Sii, wakil Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak, Datuk Mohamad Abu Bakar Marzuki dan Residen Bahagian Sarikei, Felicia Tan Ya Hua.-Nizal.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here