Operasi Anti-Rabies Diperluas di Samarahan

0
543
Fasa ketiga operasi anti-rabies meliputi kawasan Samarahan yang dijalankan bermula 10 April dan tamat pada 14 April 2019

Samarahan, 12 April 2019 (SNN)-  Operasi anti-rabies semakin diperluas di Bahagian Samarahan.  Fasa ketiga operasi anti-rabies meliputi kawasan Samarahan yang dijalankan bermula 10 April akan tamat pada 14 April 2019. Operasi tersebut akan meliputi tiga zon membabitkan Zon A (Daerah Samarahan), Zon B (Daerah Asajaya) dan Zon C (Daerah Kecil Sadong Jaya).

Residen Bahagian Samarahan, Brahim  Lumpu  berkata, untuk Zon A, operasi dijalankan pada 10 dan 11 April 2019, manakala Zon B dan Zon C masing-masing pada 11 hingga 12 April 2019. Jelasnya, operasi ini akan disertai kakitangan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Sarawak, Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Majlis Perbandaran Kota Samarahan (MPKS), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan agensi lain.

“Operasi ini akan menyaksikan 22 pasukan melawat setiap kampung dan taman perumahan di tiga zon tersebut.  Kaedah pelaksanaan operasi adalah melalui kaedah ‘sweeping’ iaitu mencari, menangkap, memindah anjing dan ‘road block’ iaitu mengawal pergerakan anjing,” katanya semasa Taklimat Operasi Rabies Daerah Samarahan dan Daerah Asajaya 2019 di sini.

Untuk rekod, pelaksanaan operasi rabies Daerah Samarahan dan Daerah Asajaya 2019 bertujuan mencari, menangkap dan memindahkan anjing-anjing yang berkeliaran di kawasan operasi. Ia adalah bagi membanteras wabak rabies di Sarawak khususnya di Daerah Samarahan, Daerah Asajaya dan Daerah Kecil Sadong Jaya.

Dalam perkembangan yang sama, setakat awal bulan ini, sebanyak 96 sampel otak anjing diuji, di mana 32 sampel didapati positif rabies. Manakala bagi sampel otak kucing pula, sembilan didapati positif rabies daripada 13 sampel diuji. Setakat ini belum ada kes positif melibatkan haiwan liar dikesan dan berdasarkan lapan sampel otak diambil sejak 2017, mendapati kesemuanya negatif rabies.

Dalam pada itu, pemilik pemilik haiwan juga dinasihat agar memvaksin haiwan peliharaan mereka selain menyarankan pemandulan dan pengurungan haiwan peliharaan bagi mengekang penularan wabak rabies. Penyakit rabies boleh merebak melalui gigitan dan cakaran haiwan yang dijangkiti virus tersebut.

Oleh yang demikian, orang awam hendaklah lebih berwaspada dan sekiranya terkena gigitan, luka perlu dicuci dengan air sabun selama 15 minit dan segera pergi ke klinik berdekatan untuk rawatan lanjut.

Orang ramai dikehendaki berwaspada terhadap anjing yang mempunyai tanda-tanda rabies

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here