More
    Home Awang Tengah pernah ponteng sekolah 6 bulan kerana menanam padi

    Awang Tengah pernah ponteng sekolah 6 bulan kerana menanam padi

    MIRI, 13 APRIL 2019 (SNN) – Yang Berhormat Datuk Amar Awang Tengah pernah ponteng sekolah selama 6 bulan kerana menolong keluarganya menanam padi.  Ketika itu beliau masih belajar di sekolah rendah pada pertengahan tahun 1960an di Kuala Lawas.  Dengan kedudukan kampung yang terletak di kawasan muara Sungai Lawas mereka terpaksa menanam padi di kawasan Merapok yang agak jauh tetapi memiliki tanah sawah yang subur.  Oleh kerana jauh mereka tidak dapat berulang-alik maka mereka terpaksa meninggalkan kampung mereka dan pernah bermukim di Kampung Patarikan dan Muchu.

    Awang Tengah Ali Hasan yang kini menjawat Timbalan Ketua Menteri Sarawak merangkap Menteri Pembangunan Bandar dan Sumber Asli II dan Menteri Pembangunan Industri dan Usahawan serta wakil rakyat Bukit Sari, Lawas telah merasmikan pejabat Persatuan Anak Jati Lawas Miri (JATI) di Riam, Miri pada pagi 13 April 2019. Ketibaan beliau telah disambut oleh Ahli Jawatankuasa JATI yang dipimpin oleh Haji Alias Mail (Pengerusi), Haji Basar Haji Nasib (Timbalan Pengerusi), Dayang Mordinah Datuk Awang Daud (Setiausaha) dan ahli-ahli yang lain.  Turut hadir adalah Datu Dr. Sanib Hj. Said, Pengurus Besar, Amanah Khairat Yayasan Budaya Melayu Sarawak (AKYBMS) yang berasal dari Lawas.

    Sebahagian dari Ahli Jawatankuasa JATI

    Di dalam ucapannya, Awang Tengah menyeru ahli-ahli JATI di Miri harus berani mengharungi kesusahan dan cabaran dalam memajukan diri sendiri dan ahli persatuan di perantauan. Mereka juga harus tahan lasak dan bersungguh-sungguh dalam apa jua bidang yang mereka ceburi.  Jika ada kesungguhan untuk maju dan berubah maka kejayaan akan tercapai jua.

    Ayam Dibawa Pindah

    Dalam hubungan inilah Awang Tengah telah menceritakan secara ringkas tentang kesusahan dan cabaran hidup beliau bersama keluarga semasa beliau masih kanak-kanak. Hampir setiap tahun ayahnya membawa keluarga berpindah ke Merapok untuk menanam padi sawah dan menoreh getah.  Beliau berkata ayam juga di bawa berpindah untuk membekalkan telur dan daging.  Biasanya mereka akan meninggalkan kampung halaman selama enam bulan dan oleh kerana itulah beliau terpaksa ponteng sekolah sehingga 6 bulan dan mengulang kelas. Pada masa itu beras tidak mampu dibeli dan cara mendapatkan bekalan makanan asas ini adalah dengan menanam padi sendiri.  Begitulah kehidupan masyarakat luar bandar ketika itu. Di Merapok Awang Tengah berkawan dengan Alias dan Basar.

    Awang Tengah menandatangani plak sebagai simbol perasmian

    6 Proses Imigresen

    Terdahulu dari itu, Alias mengucapkan terima kasih kepada Awang Tengah atas bantuan dan sokongan yang beliau sumbangkan kepada JATI.  Beliau menjelaskan bahawa JATI telah menganjurkan berbagai-bagai acara untuk ahli dan juga menyertai beberapa acara di peringkat Bahagian Miri.  Antara sumbangan JATI yang penting adalah membantu pesakit dari Lawas yang dihantar ke Hospital Miri dan jika ada pesakit yang meninggal dunia JATI juga mengambil tugas mengurus jenazah penghantaran ke Lawas.  Alias berkata hampir setiap bulan ada pesakit yang meninggal dunia.  Peranan ini sangat kritikal dan disanjung tinggi oleh masyarakat Lawas kerana harus menempuhi perjalanan darat melalui tiga daerah Negara Brunei Darussalam dan juga daerah Limbang.  Ini melibatkan 6 kali proses imigresen.

    Awang Tengah menyampaikan insentif kecemerlangan akademik kepada salah seorang penerima.

    Dalam majlis perasmian pejabat JATI ini juga diadakan penyampaian hadiah insentif pencapaian akademik anak-anak ahli dalam peperiksaan awam dan juga kejayaan meraih ijazah. Sekitar 100 orang ahli dan keluarga JATI turut hadir di majlis ini.

    Kemudian Awang Tengah berkesempatan merasmikan Butik Cempaka dan Jalan-Jalan Korea, kedai bundle yang popular di Miri.

    Sanifa
    Chief Editor

    Leave A Reply

    Please enter your comment!
    Please enter your name here

    Must Read

    JKM Bintulu hulur bantuan bekalan makanan kepada penduduk di kawasan Pengesanan...

    0
    BINTULU, 28 JANUARI 2021 (SNN) : Susulan pelaksanaan Pengesanan Kes Aktif (ACD) di Rumah Peter Bansa, Bintulu pada 25 Januari 2021 lalu, Jabatan Kebajikan...