Musim Kemarau di Sarawak Diramal Sehingga September

0
403
Fatimah semasa sidang media Kesiapsiagaan Menghadapi Bencana Kemarau JKM 2019 di Kuching

Kuching, 03 April 2019 (SNN) – Musim kemarau di Sarawak diramal sehingga bulan September tahun ini. Justeru Kerajaan Negeri Sarawak menerusi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bersiap siaga menghadapi musim kemarau panjang yang diramal bermula bulan ini sehingga bulan September yang akan datang.

Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata JKM menerusi agensi kerajaan lain akan memastikan bekalan air bersih dapat disalurkan kepada penduduk terjejas dalam tempoh enam jam sebaik laporan diterima. Beliau berkata demikian semasa sidang media Kesiapsiagaan Menghadapi Bencana Kemarau JKM 2019 di Kuching.

Musim kemarau ini dijangka akan sampai bulan September dan paling tinggi suhu antara April hingga Jun. Mengenai syarat pemberian bantuan air semasa bencana kemarau, Fatimah menjelaskan bantuan ini diberikan kepada mangsa yang tidak mendapat bekalan air paip atau bersih dari Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) dan Lembaga Air yang mengalami masalah bekalan air semasa kemarau atau musim panas yang berpanjangan.

“Setiap sebuah keluarga akan diberikan bantuan air tangki 70 gelen atau 315 liter untuk tempoh satu minggu. Manakala, bagi bantuan air botol pemberiannya sebanyak dua kotak (36 liter) untuk seorang bagi tempoh seminggu (1 kotak =12 botol @ 15 Liter)”.

Berdasarkan mesyuarat bersama YB Datuk Amar Douglas Uggah Embas Timbalan Ketua Menteri Sarawak merangkap Menteri Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah Sarawak, bantuan mesti dihantar dalam tempoh masa 6 jam maklumat diterima mengikut Indeks Prestasi Utama (KPI) yang telah ditetapkan.

“JKM Sarawak juga menyediakan pangkalan hadapan air minuman botol kepada kawasan yang mengalami kesukaran dalam perhubungan dan sering dilanda kemarau,” tambahnya.

Dalam kes tertentu, sekiranya sumber air lain yang tidak sesuai bagi penyediaan makanan dan minuman, mereka boleh diberikan bantuan berupa air minuman botol. Bantuan air bersih juga turut dipanjangkan ke sekolah-sekolah di kawasan berkenaan.

Fatimah juga berharap agar mereka yang menerima bantuan minuman air botol ini akan dapat mengitar semula botol tersebut. “Banyak sisa lebihan botol yang telah digunakan telah dibuang di dalam sungai dan mengakibatkan sungai kotor dan longkang tersumbat. Jika tidak kitar semula, botol berkenaan boleh dibuang ke dalam tong sampah supaya tidak terbiar sahaja,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Fatimah berkata sehingga kini kita telah menyalurkan bantuan berupa air minuman botol di beberapa kawasan yang mengalami masalah berkaitan air. “Bermula Januari hingga hari ini (2 April 2019), bantuan bencana untuk musim kemarau ialah 143 kes bersamaan RM794,902 kepada mangsa di seluruh Sarawak. Jumlah keluarga yang terlibat ialah 4,989 dan jumlah mangsa yang terlibat 26,818 orang. Bantuan ini termasuk pemberian air botol dan bantuan air tangki. Kos bantuan air termasuk dengan kos penghantaran ke tempat yang dilanda kemarau,” katanya.

Sehubungan dengan itu, ketua kampung dan tuai rumah diseru supaya memberikan maklumat yang tepat kepada pihak berkuasa semasa membuat permohonan bantuan bekalan air minuman untuk penduduk yang terjejas.

Menurutnya, pemberian maklumat yang tepat seperti jumlah keluarga terlibat, jumlah ahli dalam sesebuah keluarga dan berapa buah pintu rumah panjang yang memerlukan bantuan tersebut penting kerana bantuan yang diagihkan tidak lebih dan tidak kurang.

Beliau menasihatkan penduduk rumah panjang yang mengalami masalah bekalan air tangki yang kotor dan semakin kering untuk membuat permohonan bantuan kepada pihak berkuasa peringkat daerah atau terus kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Mengulas lanjut, beliau mendedahkan bahawa pihak jabatan juga menjangkakan beberapa sekolah di negeri ini berpotensi menghadapi kekurangan air akibat bencana kemarau.  Justeru beliau menyarankan kepada pihak sekolah terutamanya guru besar sekolah yang terjejas menghantar maklumat bilangan guru, pelajar dan kakitangan sekolah supaya memudahkan proses penghantaran bekalan bantuan.

Kepada mereka yang mengalami masalah kekurangan bekalan air akibat musim kemarau ini, aduan boleh diajukan di JKM Bahagian, Pejabat Residen Bahagian dan Pejabat Daerah.

Hadir sama pada sidang media tersebut, Pemangku Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak Joni bin Nuruddin dan Ketua Bahagian Kesejahteraan Sosial Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak Guntor bin Rajaee.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here