Polis Pandang Serius Peningkatan Kes Dadah di Sarawak

0
1029
Mohmad Bin Salleh bergambar kenangan bersama Pegawai-Pegawai Kanan dan anggota, Ketua-Ketua Bahagian Narkotik Daerah Kontinjen Sarawak serta agensi-agensi lain yang terlibat

KUCHING, 02 April 2019 (SNN) – Polis pandang serius peningkatan kes dadah di Sarawak. Bertempat di Mes Pegawai Kanan IPK Sarawak berlangsungnya Majlis Penyampaian Amanat oleh YDH CP Dato’ Sri Mohmad Bin Salleh, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik PDRM Bukit Aman sempena Lawatan Kerja Ke Kontinjen Sarawak pada 01 hingga 02 April ini yang turut dihadiri oleh YDH CP Dato’ Azman Bin Yusof, Pesuruhjaya Polis Sarawak.

“Bagi menjadikan PDRM sebuah pasukan yang relevan, Integriti adalah penting dan hendaklah sentiasa positif dalam menerima dan menyelesaikan setiap tugasan serta amanah yang diberi” adalah antara amanat dan juga nasihat yang disampaikan oleh YDH CP Dato’ Sri Mohmad Bin Salleh.

Dalam perkembangan yang sama, beliau dalam ucapannya turut menyatakan bahawa Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Sarawak akan terus mempergiatkan usaha menangani dan membanteras isu-isu berkaitan dadah di negeri ini. Menurutnya secara keseluruhannya, isu-isu berkaitan dadah di negeri ini ditangani dengan baik oleh JSJN Sarawak. 

Statistik menunjukkan peningkatan tangkapan yang amat ketara dalam semua kategori bagi tempoh Januari hingga 29 Mac tahun ini berbanding tempoh sama tahun lepas. Bagi tangkapan kategori bekalan (pengedar dadah) meningkat sebanyak 57 peratus iaitu 245 tangkapan berbanding 157 tangkapan bagi tempoh yang sama tahun 2018. 

Untuk kes tangkapan di bawah Seksyen 39 (B) Akta Dadah Berbahaya 1952 sahaja, sebanyak 42 tangkapan dibuat pada tahun ini meningkat 68 peratus berbanding 25 tangkapan pada tahun 2018. Manakala bagi tangkapan kategori memiliki pula meningkat sebanyak 37 peratus iaitu 555 tangkapan berbanding 405 tangkapan pada tahun 2018. 

Di bawah Akta Dadah Berbahaya (LLPK) 1985 pula, seramai 17 pengedar ditangkap meningkat sebanyak 112 peratus berbanding lapan tangkapan pada tempoh yang sama tahun 2018. Tindakan kategori Perlucuthakan Harta di bawah Akta Dadah Berbahaya (Perlucuthakan Harta) 1988 yang difokuskan kepada pengedar-pengedar dadah pula, sebanyak RM886,574.95 sitaan dibuat setakat tahun ini meningkat 126.50 peratus berbanding RM386,727.03 pada tahun 2018. 

Justeru, beliau berharap JSJN Sarawak akan mengekalkan momentum cemerlang ini dari segi usaha mengekang isu-isu pengedaran, pemilikan dan penyalahgunaan dadah.  “Isu dadah ini merupakan isu yang tidak akan selesai dan semakin hari isu ini semakin rumit dan sukar untuk ditangani.  Namun saya yakin dan percaya dengan adanya semangat kerja dalam kalangan warga polis dan JSJN, usaha membanteras dadah ini dapat dilaksanakan dengan baik,” katanya lagi menambah.

Mohmad Bin Salleh  juga berkesempatan menyampaikan Sijil Penghargaan kepada Pegawai-Pegawai Kanan dan anggota, Ketua-Ketua Bahagian Narkotik Daerah Kontinjen Sarawak serta agensi-agensi lain yang turut bekerjasama dengan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik PDRM Kontinjen Sarawak dalam menjalankan tugas dan operasi dalam membanteras jenayah narkotik.

Penerima sijil didahului oleh Dato’ Hajah Sharifah Binti Tuanku Taha, Pengarah Kastam Negeri Sarawak, Tuan Isa Bin Hashim, Pengarah Pendakwaan, Jabatan Peguam Negara Cawangan Negeri Sarawak, En. Wan Madihi Bin Wan Salleh, Pengarah AADK Sarawak, Encik Ahmad Fariz Bin Abdul Hamid, Timbalan Pendakwa Raya Bintulu, Encik Mohd. Syafiq Anas Bin Abdullah, Pengarah JPJ Sarawak serta wakil-wakil dari JKR Negeri Sarawak, Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak, Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak, pegawai-pegawai kanan PDRM Cawangan Khas IPK Sarawak, Pasukan Gerakan Udara (PGU) dan Pasukan Polis Marin Wilayah 5 (PPMW5) Sarawak serta Ketua-Ketua Bahagian Narkotik Daerah PDRM Kontinjen Sarawak, pegawai kanan, anggota dan pegawai awam.

Hadir sama pada majlis penyampaian itu, YDH DCP Dato’Pahlawan Mohd. Dzuraidi Bin Ibrahim, Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak, YDH SAC Abd. Razak Bin Md.Zin, Timbalan Pengarah Narkotik (Penguatkuasaan/Pencegahan/kepolisan Am) Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik PDRM Bukit Aman, Supt. Sahar Bin Abd. Latif, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik PDRM Kontinjen Sarawak, Ketua Ketua-Ketua Jabatan, Ketua-Ketua Polis Daerah Kontinjen Sarawak, pegawai-pegawai kanan, anggota serta pegawai awam Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik PDRM Kontinjen Sarawak.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here