Hayati Pengajaran di Sebalik Peristiwa Israk Mikraj

0
513
Sebahagian hadirin yang datang memeriahkan sambutan Israk dan Mikraj yang telah diadakan di Masjid As-Sabirin, Kabong di sini, malam tadi

Kabong, 03 April 2019 (SNN)- Hayati pengajaran di sebalik peristiwa Israk Mikraj. Ini kerana peristiwa Israk dan Mikraj bukan hanya sekadar sebuah kisah sejarah yang diceritakan kembali setiap kali 27 Rejab menjelang. Adalah lebih penting untuk kita menghayati pengajaran di sebalik peristiwa tersebut bagi meneladani perkara yang baik dan menjauhi perkara yang tidak baik. Peristiwa Israk dan Mikraj yang memperlihatkan pelbagai kejadian aneh yang penuh pengajaran seharusnya memberi keinsafan kepada kita agar sentiasa mengingati Allah SWT dan takut kepada kekuasaan-Nya.

Seandainya peristiwa dalam Israk dan Mikraj ini dipelajari dan dihayati benar-benar kemungkinan manusia mampu mengelakkan dirinya daripada melakukan berbagai-bagai kejahatan. Kejadian Israk dan Mikraj juga adalah untuk menguji umat Islam (apakah percaya atau tidak dengan peristiwa tersebut). Orang-orang kafir di zaman Nabi Muhammad SAW langsung tidak mempercayai, malahan memperolok-olokkan Nabi Muhammad SAW sebaik sahaja Baginda Rasulullah bercerita kepada mereka.

Peristiwa Israk dan Mikraj itu merupakan ujian dan mukjizat yang membuktikan kudrat atau kekuasaan Allah SWT. Allah SWT telah menunjukkan bukti- bukti kekuasaan dan kebesaran-Nya kepada Baginda Rasulullah SAW semasa Israk dan Mikraj.

Demikian antara intipati utama ceramah agama yang disampaikan oleh penceramah jemputan , Al Fadhil Ustaz Azhar Bin Bastani bersempena sambutan Israk dan Mikraj yang telah diadakan di Masjid As-Sabirin, Kabong di sini, malam tadi.

Majlis telah dimulakan dengan solat Maghrib berjemaah, diikuti sesi ceramah dan seterusnya solat Isya berjemaah. Majlis ini merupakan anjuran Jawatankuasa Masjid As-Sabirin, Kabong dengan Kerjasama Pusat Khidmat ADUN N.40 Kabong.

Hadir sama pada majlis tersebut, Yang Berhormat Encik Mohd. Chee Kadir, ADUN N.40 Kabong serta isteri, dan dihadiri lebih 500 orang penduduk dari sekitar Kabong.

Ceramah agama yang disampaikan oleh penceramah jemputan , Al Fadhil Ustaz Azhar Bin Bastani

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here