Marudi Dapat Dana RM300 Juta

0
1218
Kedatangan Abang Jo disambut meriah oleh penduduk Marudi

MARUDI, 20 Mac 2019 (SNN) –  Marudi dapat dana peruntukan berjumlah RM300 juta untuk melaksanakan projek-projek pembangunan dalam daerah tersebut. Dalam pada itu semua projek pembangunan yang dijanjikan oleh Kerajaan Sarawak akan dikotakan demi kepentingan dan kesejahteraan rakyat di negeri ini.

Yang Amat Berhormat, Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi (Dr) Abang Haji Abdul Rahman Zohari bin Tun Datuk Abang Haji Openg berkata, beliau bertekad akan terus merancang serta membawa lebih banyak pembangunan bagi memastikan tiada rakyat khususnya yang menetap di kawasan luar bandar dipinggirkan daripada menikmati arus kemajuan.

Abang Johari berkata demikian ketika berucap melancarkan perasmian Projek ‘Waterfront Marudi‘ dan Pelancaran Jerayawara GPS Zon 14 yang diadakan di Dataran Marudi hari ini. Abang Jo turut mengumumkan sejumlah lebih RM300 juta dana untuk Marudi , bagi tujuan membina dan memperbaiki pelbagai projek yang telah dan akan dirancang di kawasan berkenaan.

Ini termasuklah projek pembinaan Jambatan Miri-Marudi yang bernilai RM75 juta selepas kerajaan pusat membatalkan projek tersebut. Jelasnya, dengan siapnya jambatan itu kelak, masyarakat setempat tidak perlu lagi bergantung kepada perkhidmatan feri bagi menyeberangi Sungai Batang Baram untuk ke Miri dan Marudi.

“Kita (Kerajaan Sarawak) tidak risau jika kerajaan pusat terus membatalkan projek-projek yang dijanjikan sebelum ini. Potong pun potonglah, kita tak peduli, kita ada cara kita sendiri untuk mendapatkan peruntukan bagi melaksanakan pelbagai projek untuk rakyat,” katanya.

Menurut Abang Jo lagi Kerajaan Sarawak telah meluluskan pembinaan projek Marudi Waterfront sekali gus memberi lanskap baharu kepada masyarakat setempat. “Apabila kita berjanji kita mesti mengotakan janji-janji itu kepada rakyat, bukannya seperti kerajaan Pakatan Harapan (PH) di peringkat pusat yang telah membatalkan projek Marudi Waterfront ini”, ujarnya.

“Tetapi kita (Kerajaan Sarawak) telah mengambil alih pembangunan projek yang bernilai RM23 juta ini dan itulah apa yang kita laksanakan hari ini. Pekan Marudi tidak lagi terpinggir dengan adanya projek pembinaan Marudi Waterfront, jalan raya dan jambatan” kata Abang Jo lagi.

Abang Jo juga menyeru rakyat di Marudi dan parti-parti di bawah Gabungan Parti Sarawak (GPS) supaya kekal bersatu dan jangan sesekali berpecah-belah, kerana ia boleh ‘menghancurkan’ rancangan untuk membangunkan kawasan Marudi.

“Berjanjilah supaya kita, GPS yang terdiri daripada pelbagai parti kekal bersatu, kalau kita berpecah maka peruntukan itu pun akan ‘hancur lebur’ bersama projek-projek (yang dirancang) termasuklah pembinaan loji bekalan air ke Poyut-Lubok Nibong dalam kawasan DUN Mulu dan bekalan elektrik,” katanya.

“Kita akan menaik taraf Marudi kepada bahagian dan oleh yang demikian kita juga memerlukan pelbagai kemudahan infrastruktur. Justeru, kita menyeru semua pihak dan rakyat di Marudi supaya sentiasa bersatu padu dan mengekalkannya,” tambah beliau lagi.

Mengenai Projek Tebingan Marudi, Abang Johari berkata projek itu dijanjikan dahulu dengan kos sejumlah RM23 juta namun tetapi setelah Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 yang lalu, Kerajaan Pakatan Harapan (PH) membatalkan projek tersebut. Namun begitu Abang Jo mengumumkan bahawa kini projek itu diambil alih oleh Kerajaan GPS.

“Ini adalah janji saya, yang akan membina Waterfront Marudi dan kini, semua masalah telah selesai dengan peruntukan sebanyak RM23 juta, kerana kita mahu waterfront (tebingan sungai) ini dibina agar rakyat dan pengunjung berasa selesa apabila datang menyaksikan Pesta Regata Baram yang amat penting kepada penduduk Baram dan di seluruh Sarawak amnya,” ujar beliau lagi.

Bagi merancakkan lagi ekonomi masyarakat di Marudi menerusi industri pelancongannya yang berpotensi besar khususnya di Mulu, Abang Johari berkata, Kerajaan Negeri akan membina jalan raya yang menghubungkan Marudi ke Long Terawan dan seterusnya ke Mulu menerusi pembinaan jalan fasa dua yang bernilai RM43 juta.

Dalam masa yang sama, Kerajaan Negeri turut bersetuju memperbaiki bangunan bersejarah, Kubu Hose dengan meluluskan peruntukan RM2.1 juta, manakala RM11 juta lagi untuk membangunkan kawasan perindustrian yang terletak bersebelahan dengan Stadium Mini Marudi.

Abang Johari dalam ucapannya juga turut menjelaskan kepada rakyat bahawa Kerajaan Negeri mempunyai dana yang mencukupi untuk menampung semua pembangunan tersebut iaitu melalui royalti dan hasil daripada industri minyak dan gas. Abang Jo yang juga Presiden GPS dan Presiden PBB, mengingatkan rakyat bahawa rakyat Sarawak wajar menuntutnya kerana ia adalah hak mereka dan Kerajaan Negeri di bawah GPS tidak akan membiarkan rakyat berputih mata.

“Justeru kita jangan sesekali berpecah, sebaliknya terus mempertahankan hak kita, seperti yang dilaungkan oleh Kerajaan GPS ‘Utamakan Sarawak’, maka kita harus berjuang untuk Sarawak dan mesti berjuang untuk kehidupan kita,”  kata Abang Jo mengakhiri ucapannya.

Hadir sama dalam majlis tersebut adalah Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Menteri Utili Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom, Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Dr Sim Kui Hian, Ahli Parlimen Bintulu Datuk Seri Tiong King Sing, menteri-menteri kabinet negeri dan wakil-wakil rakyat GPS yang lain, ketua-ketua masyarakat dan lebih 5,000 penduduk dan penyokong GPS yang hadir sama membanjiri Dataran Marudi.

Abang Jo semasa melancarkan Jerayawara GPS Zon 14

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here