Serangan Pengganas di New Zealand, Seorang Rakyat Malaysia Disahkan Meninggal Dunia

0
459
Mohd Haziq, 17 bersama ayahnya Mohd Tarmizi

PULAU PINANG, 20 Mac 2019 (SNN)– Susulan serangan pengganas terhadap dua masjid di Christchurch, New Zealand, Jumaat lalu akhirnya Mohd Haziq Bin Mohd Tarmizi ,17, disahkan meninggal dunia.  Pengesahan terbabit dilaporkan Exco Jawatankuasa Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar Pulau Pinang, Phee Boon Pooh, pada 11.20 malam ini.

“Kedutaan Malaysia sudah terima maklumat bahawa Haziq sudah meninggal dunia,” katanya menerusi aplikasi WhatsApp.

Walau bagaimanapun  butiran lanjut mengenai masa dan lokasi penemuan mayat Mohd Haziq belum diketahui dan akan dimaklumkan apabila butiran lengkap mengenainya diketahui.

Terdahulu, Mohd Haziq telah dilaporkan hilang selepas serangan pengganas di masjid di Christchurch, New Zealand pada Jumaat lepas. Ibu Mohd Haziq memaklumkan bahawa Mohd Haziq pergi menunaikan solat Jumaat bersama ayah dan adiknya, tetapi selepas serangan pengganas tersebut Mohd Haziq masih tidak ditemui.  Usaha mengesan remaja itu sedang dilakukan oleh polis New Zealand berdasarkan maklumat yang diperoleh daripada ibunya. Ibu Mohd Haziq berusaha bekerjasama dengan pihak polis untuk memberikan nama yang betul, gambar yang betul kerana memang ada mayat-mayat yang belum dikenal pasti, jadi mereka harus membuat ujian asid deoksiribonukleik (DNA) sebelum ada apa-apa kenyataan daripada polis dilakukan.

Mohd Haziq  merupakan anak kedua kepada Mohd Tarmizi Shuib, 42, rakyat Malaysia yang parah dalam serangan di Masjid Al Noor. Ketika kejadian Tarmizi bersama dua anaknya, Mohd Haris, 12, dan Mohd Haziq 17, hadir untuk menunaikan solat Jumaat di masjid itu. Mohd Haris telah terselamat tetapi masih  trauma manakala bapa mereka parah ditembak dan masih menjalani rawatan di Hospital Christchurch, New Zealand.

Selain Mohd Tarmizi dari Alor Setar, Kedah, dua lagi rakyat Malaysia yang tercedera akibat serangan itu ialah Rahimi Ahmad, 39, dari Kampung Binja, Bayan Lepas Pulau Pinang dan Mohd Nazri Hisham Omar, 46, dari Shah Alam, Selangor. Ketiga-tiga mereka kini menerima rawatan di Hospital Christchurch, New Zealand.

Insiden serangan pengganas  di dua masjid di Christchurch, New Zealand itu mengorbankan 50 individu serta mencederakan puluhan yang lain, termasuk tiga rakyat Malaysia, pada Jumaat ,15 Mac 2019, jam 1.40 tengah hari (waktu tempatan), Jumaat lalu. Polis New Zealand pula dalam kenyataannya di Facebook berkata, setakat ini 12 mangsa terbunuh sudah dikenal pasti.

Proses pengesahan identiti mangsa serangan Jumaat lalu memerlukan tempoh masa yang agak panjang,  namun  pihak berkuasa New Zealand berusaha mempercepatkan proses memandangkan situasi yang agak kompleks.

Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa dijadualkan akan berangkat ke New Zealand esok. Beliau akan mewakili Kerajaan Malaysia untuk urusan solat jenazah dan khutbah Jumaat di Christchurch, New Zealand.  Sumber : BH

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here