Tabung Baitulmal Sarawak Agih RM4.8 Juta Bantuan Sara Hidup Kepada 1400 Penerima

0
529
Penyampaian agihan zakat dan sumbangan barangan keperluan harian kepada golongan asnaf dalam program ziarah oleh pihak Tabung Baitulmal Sarawak di Program "Bersama Mufti" Tabung Baitulmal Sarawak Cawangan Bintulu

Bintulu, 06 April 2019 (SNN)-  Tabung Baitulmal Sarawak agih RM4.8 juta bantuan sara hidup kepada 1,400 penerima. Mereka terdiri daripada golongan asnaf dan jumlah ini tidak termasuk bantuan lain yang disediakan Tabung Baitulmal Sarawak (TBS). Pengurus Besar Tabung Haji Sarawak (TBS) Datu Haji Abang Mohammad Shibli bin Hj. Abg Mohd Nailie berkata jumlah bantuan saraan hidup tidak termasuk jumlah bantuan lain yang disediakan TBS.

“Secara keseluruhannya, sebanyak RM4.8 juta bantuan sara hidup telah diagihkan kepada 1,400 orang penerima di seluruh Sarawak. Bagaimanapun, jumlah ini tidak termasuk jumlah bantuan lain yang disediakan TBS”.

“Setiap penerima akan menerima wang bantuan berjumlah RM250 seorang dan dihantar tiga bulan sekali dan wang diserahkan secara terus kepada penerima tanpa melalui bank (penerima menerima wang lebih awal tanpa menunggu),” katanya semasa ditemui pemberita dalam Majlis Penyerahan Bantuan Saraan Hidup di Program “Bersama Mufti” Tabung Baitulmal Sarawak Cawangan Bintulu, Kampung Jepak, Kampung Kemunting dan Kampung Sebiew.

Sementara itu, jumlah penerima bantuan sara hidup di Bintulu berjumlah 86 orang yang masih aktif dan dibantu dengan kos berjumlah RM1.2 juta. “Jumlah bantuan ini terdiri daripada pelbagai bantuan seperti membantu pelajar di institusi pengajian tinggi dan bantuan-bantuan lain yang memerlukan,” katanya.

Bagi setiap permohonan bantuan, pemohon akan melalui proses penilaian untuk memastikan setiap permohonan itu memenuhi syarat yang ditetapkan.”Setiap permohonan akan dinilai daripada pelbagai sudut bagi memastikan mereka yang benar-benar layak mendapat bantuan sara hidup yang disediakan TBS,” jelasnya. 

Dalam program itu, rombongan telah menziarahi tiga buah rumah asnaf di Kampung Jepak, dua buah rumah asnaf di Kampung Kemunting, dan berakhir di sebuah rumah asnaf di Kampung Sebiew. TBS turut menyampaikan agihan zakat dan sumbangan barangan keperluan harian kepada mereka dalam program ziarah tersebut.

Turut hadir Mufti Negeri Sarawak Sahibus Samahah Datu Haji Kipli bin Haji Yaasin dan Ketua Cawangan TBS Bintulu Zaini bin Ramli.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here