Manfaatkan Media Sosial Untuk Perniagaan- Dr Hazland

0
408
Dr Hazland bergambar bersama peserta Kursus Keusahawanan Digital di Pusat Internet Taman Sepakat Jaya

Kuching, 08 April 2019 (SNN)- Manfaatkan media sosial untuk tujuan perniagaan. Peserta kursus diingatkan agar mengambil peluang hasil dari pembelajaran kursus untuk diadaptasikan dalam kehidupan seharian. Gunakan media sosial dengan sebaiknya dalam usaha menambah pendapatan dan menarik lebih ramai pembeli.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N05 Demak Laut, Dr Hazland Abang Hipni berkata demikian ketika memberikan taklimat kepada 18 peserta yang menghadiri Kursus Keusahawanan Digital di Pusat Internet Taman Sepakat Jaya, semalam.

Setiap kampung perlu mempunyai produk yang boleh dijadikan imej kepada kampung selain boleh dijual kepada pengunjung yang datang ke kampung. Apabila setiap kampung itu mempunyai produk yang boleh dijual ini memberi peluang kepada penduduknya menjana pendapatan.

“Diberitahu Kampung Tanjung Bako mempunyai ‘kari lokan’ yang boleh mewakili kampung sebagai tarikan kepada pengunjung. Saya percaya ini boleh diambil kira dengan cara mempromosikan produk yang menarik selain makanan tersebut sedap, ia boleh membawa pengunjung luar datang ke Kampung Tanjung Bako,” katanya.

“Seperti kita lihat beberapa produk makanan yang terkenal di Demak Laut seperti laksa ambal dan tongkang pecah yang dijual di gerai makanan D’Simpang Goebilt. Apabila makanan itu sedap dan harga yang ditawarkan berpatutan, ia akan menjadi sebutan orang ramai dan akan tular di media sosial untuk perhatian orang ramai.Ini sekaligus menggalakkan orang ramai datang dan merasai kesedapan makanan tersebut seperti yang dikomen di dalam media sosial”, tambahnya lagi.

Menurut Dr Hazland, perniagaan ini banyak caranya sama ada kita hendak mengusahakan secara sederhana atau lebih besar. “Seperti menternak ayam. Seseorang itu boleh menternak ayam sahaja jika kemahirannya setakat itu sahaja. Tetapi, jika mempunyai modal dan kemahiran lebih tinggi, penternak ayam itu boleh membuka perniagaan makanan seperti KFC atau gerai makanan,” katanya lagi.

Justeru beliau menyarankan peserta kursus untuk menggunakan media sosial sebaiknya untuk mempromosi perniagaan atau produk masing-masing.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here