Lebih 6000 Hadiri Majlis Pecah Tanah Jambatan Muara Lassa

0
306
Antara sebahagian daripada lebih 6000 tetamu dan rakyat setempat yang hadir pada Majls Pecah Tanah Jambatan Muara Lassa pagi ini

DARO, 08 September 2019 (SNN)- Lebih 6000 rakyat menghadiri Majlis Pecah Tanah Jambatan Muara Lassa pagi ini. Projek rangkaian jalan pesisir Sarawak yang disempurnakan oleh Yang Amat Berhormat Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Zohari Tun Abang Haji Openg dirasmikan di Perkarangan Tapak Projek Jambatan Muara Lassa, Daro,Bahagian Mukah. Ketibaan Ketua Menteri disambut meriah dengan diiringi konvoi bermotosikal mengiringi Abang Jo ke perkarangan tapak projek.

Dalam ucapan perasmiannya Abang Jo berkata, Jambatan Muara Lassa dibina dengan kos berjumlah RM597.5 juta dan akan mengambil masa empat tahun untuk disiapkan. Jambatan sepanjang 2.43 kilometer itu adalah sebahagian daripada rangkaian jalan pesisir yang dibina dengan kos keseluruhan RM11 bilion untuk menghubungkan bandar utama di sepanjang kawasan pesisir dari Kuching ke Miri.

Mengulas lanjut, beliau berkata, dengan adanya jambatan itu, kerajaan akan mengkaji pelaksanaan projek bekalan air sebagai tumpuan pembangunan fasa seterusnya. Katanya, kewujudan jambatan memudahkan sambungan paip air berbanding terpaksa dibenam di dasar sungai ketika ini.

“Kita akan melihat perkara ini dalam pelbagai aspek selain mengkaji sumber air yang boleh digunakan. Usaha ini amat penting bagi melonjakkan potensi kawasan ini khususnya dalam sektor pertanian,” katanya.

Ketua Menteri turut menyerahkan surat setuju terima projek serta menyampaikan cek pampasan kepada 40 orang penerima dalam majlis tersebut.  

Abang Jo mengetuai konvoi bermotosikal ke tapak perasmian Projek Jambatan Muara Lassa
Kedatangan Abang Jo disambut meriah oleh penduduk setempat

Sementara itu dalam majlis yang sama, Menteri Muda Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan, Datuk Julaihi Narawi berkata, projek jambatan Muara Lassa ini merupakan salah satu inisiatif pembangunan infrastruktur di bawah skim Jaringan Jalan Pesisir Pantai yang dibiayai sepenuhnya oleh Kerajaan Negeri Sarawak yang bertujuan memperkasakan lagi nadi perhubungan Negeri Sarawak di samping Projek Lebuhraya Pan-Borneo yang sedang dalam fasa pembinaan yang rancak.

“Projek Jambatan Muara Lassa ini adalah salah satu Projek Rakyat yang telah diumumkan oleh Ketua Menteri Sarawak pada 16 Julai 2017 ketika Majlis Ramah Tamah Aidilfitri di Daro. Saya bersama pihak Kementerian Pembangunan Infrastruktur dan Pengangkutan serta Jabatan Kerja Raya Sarawak pada ketika itu tanpa berlengah datang bertandang ke Daro pada 26 Julai 2017 untuk sesi dialog bersama warga Daro bagi menentukan kedudukan Jambatan Muara Lassa dan kita sebulat suara bersetuju untuk membina Jambatan Muara Lassa di tapak ini” katanya.

Julaihi yang juga selaku Pengerusi Jawatankuasa Pengelola majlis perasmian berkata, kesungguhan Kerajaan Negeri Sarawak untuk melengkapkan jajaran Jalan Pesisir Pantai sepanjang 896 km dengan pembinaan jambatan-jambatan bagi menggantikan perkhidmatan feri sedia ada dan juga membina Jalan Utama Kedua atau Second Trunk Road merupakan bukti keprihatinan Kerajaan Negeri Sarawak dalam pembangunan infrastruktur negeri yang lebih mampan.

Beliau berkata, kerajaan negeri Sarawak giat menekankan pembangunan jalan pesisir pantai dalam memastikan rakyat dari suruh pelosok negeri ini terutamanya di kawasan persisir, tidak ketinggalan dalam arus pembangunan.

Julaihi bersama pemimpin GPS yang lain mengiringi Ketua Menteri semasa menonton video dan melawat tapak pameran sempena Majlis Perasmian Jambatan Muara Lassa di sini hari ini

Pelaksanaan projek ini katanya, akan membuka akses kepada lebih banyak peluang sosioekonomi, terutama yang berasaskan aktiviti pertanian, industri asas tani dan juga akan merancakkan lagi pembangunan dan aktiviti ekonomi di bawah Sarawak Corridor of Renewable Energy (SCORE).

“Negeri Sarawak kaya dengan hasil bumi dan juga memiliki banyak potensi pertanian, penternakan, perikanan dan juga pelombongan (arang batu). Namun sebelum ini kita berhadapan dengan kekangan dari segi logistik kerana ketiadaan sistem perhubungan darat yang sempurna.

“Dengan adanya akses perhubungan darat ke kawasan ini, ia akan membolehkan para petani, nelayan dan juga pengusaha industri berpeluang untuk meningkatkan hasil jualan mereka, seterusnya menikmati taraf hidup yang lebih baik,” tegas beliau.

Menurutnya, pembangunan sistem infrastruktur juga akan mendorong pembukaan lebih banyak kawasan yang akan merangsang aktiviti perdagangan, pelancongan dan perkembangan sektor-sektor lain di kawasan sekitarnya, sekali gus merancakkan sosioekonomi dan membangunkan tanah-tanah terbiar di kawasan pesisir, yang juga boleh dinaiktaraf menjadi pusat tarikan dan pelancongan.

Julaihi berkata, ini sekali gus akan merapatkan jurang ekonomi di antara kawasan luar bandar dan bandar-bandar utama di Negeri Sarawak, agar limpahan pembangunan ekonomi dapat dinikmati sama rata oleh penduduk Sarawak.

Beliau berkata, apabila siapnya Jalan Pesisir Pantai, Second Trunk Road dan juga Lebuhraya Pan Borneo, Kerajaan Negeri Sarawak percaya nadi-nadi utama perhubungan negeri Sarawak ini akan mengubah landskap sosio-ekonomi secara signifikan bukan sahaja untuk rakyat di kawasan bandar-bandar utama, malah untuk rakyat yang tinggal di kawasan pesisir Pantai negeri Sarawak.

“Adalah menjadi aspirasi kerajaan GPS untuk merealisasikan transformasi pembangunan ekonomi Wilayah Tengah Sarawak yang merangkumi Bahagian Mukah, Sibu, Sarikei dan Kapit secara holistik,” katanya.

Menurutnya, adalah menjadi harapan Kerajaan GPS agar rakyat di negeri ini terus berdiri teguh bersama Kerajaan GPS dalam menghadapi pelbagai rintangan dan halangan terutamanya dalam ketika landskap ekonomi dan politik yang sentiasa berubah dan semakin mencabar, agar inisiatif-inisiatif yang sedang di usahakan oleh Kerajaan Negeri Sarawak dapat direalisasikan demi memberi nadi baharu kepada arus pembangunan di Negeri Sarawak.

Turut hadir dalam dalam majlis tersebut, Timbalan Ketua Menteri, Tan Sri Datuk Amar James Jemut Masing, serta pemimpin Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang lain.

Abang Jo melakukan simbolik pecah tanah sempena perasmian Tapak Projek Jambatan Muara Lassa

Sumber : JN,JB, GPS, Ukas Sarawak

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here