Hospital Pengajar UNIMAS dan Pusat Kesihatan Prima UNIMAS Siap 2024 Dengan Kos RM560 juta

0
138
Sesi menandatangani dokumen laporan makmal pengurusan nilai bagi projek pembinaan hospital pengajar UNIMAS telah diadakan di Staff Lounge, Rumah Univeristi, UNIMAS.

KOTA SAMARAHAN, 06 September 2019 (SNN)- UNIMAS sekali lagi mencipta sejarah tersendiri dengan berlangsungnya Majlis  Menandatangani Laporan Makmal Pengurusan Nilai Pembinaan dan Penyiapan Hospital Pengajar UNIMAS (HPUNIMAS) dan Pusat Kesihatan Prima (PKP) Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Kota Samarahan, Sarawak baru-baru ini.

Majlis yang dihadiri oleh wakil daripada Kementerian Hal Ehwal Ekonomi, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Cawangan Kerja Pendidikan (CKP), Ibu Pejabat Jabatan Kerja Raya (JKR) Malaysia dan UNIMAS ini telah diadakan di Staff Lounge, Rumah Universiti, UNIMAS.

Sebelum ini, Makmal Pengurusan Nilai Bagi Projek Pembinaan Hospital Pengajar UNIMAS (HPUNIMAS) telah diadakan selama lima hari bermula 8 hingga 12 April 2019 di salah sebuah hotel terkemuka di bandaraya Kuching. 

Dalam Makmal tersebut, Kementerian Hal Ehwal Ekonomi (MEA), KPM, UNIMAS dan JKR telah bersetuju untuk menggabungkan skop projek Pembinaan Dan Penyiapan Hospital Pengajar Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) Kota Samarahan, Sarawak dengan Pembinaan Pusat Kesihatan Prima (PKP) dan Pusat Jagaan Harian (PJH) di UNIMAS.

Kos  keseluruhan yang baru bagi projek ini adalah sebanyak RM560 juta dan dijangka bermula pada April 2020 dan dijangka siap pada Mei 2024.

HPUNIMAS dan PKP akan menyediakan perkhidmatan kesihatan dalam 13 kepakaran seperti Perubatan, Surgikal, Obstetrik & Ginekologi, Paediatrik, Psikitarik, Ortopedik, Oftalmologi, ENT, Radiologi, Patologi, Anaesthesiologi, Perubatan Kecemasan dan Perubatan Keluarga.

penyerahan dokumen laporan makmal pengurusan nilai bagi projek pembinaan hospital pengajar UNIMAS antara Prof Datuk Dr Mohamad Kadim bin Suaidi, Naib Canselor UNIMAS (empat dari kanan) dan Encik Megat Azlani Megat Ramli, Timbalan Setiausaha Bahagian Pembangunan, Kementerian Pendidikan Malaysia.

Kos projek pembinaan baru ini juga melibatkan penyediaan kemudahan-kemudahan seperti berikut iaitu 300 buah katil, Jabatan pesakit luar (OPD), fasiliti pesakit dalam dan wad, lapan (8) dewan bedah utama (Main OT) yang dilengkapi dengan kemudahan peralatan  berteknologi tinggi digital dan hibrid, dua (2) dewan bedah materniti (Maternity OT) dan dua (2) dewan bedah jagaan harian  (Daycare OT), khidmat sokongan- makmal diagnostik klinikal (CDL), radiologi, dan sebagainya, kemalangan dan  kecemasan dan khidmat sokongan,pusat rehablitasi,pusat penyelidikan klinikal (CRC), Pusat Kesihatan Prima, Pusat Jagaan Harian, pejabat pentadbiran, perpustakaan, kemudahan teknologi maklumat, khidmat kejuruteraan dan penyelenggaraan, bilik pensyarah, bilik seminar dan bilik persidangan, kemudahan sokongan seperti surau, kafe, pondok pengawal dan kemudahan mekanikal dan elektrikal.

HPUNIMAS & PKP juga akan menyediakan perkhidmatan farmasi melalui Satellite Pharmacy with Drive Thru facilities untuk pesakit luar.Sementara ini,  kos asal projek berkenaan yang hanya melibatkan HPUNIMAS adalah sebanyak RM480 juta dan telah diluluskan di bawah Rolling Plan 4 2019 (RP4), RMKe-11.

Dalam pada itu, sektor penjagaan kesihatan di Malaysia mengalami perubahan drastik dan permintaan pengguna yang tinggi, berikutan kemajuan dalam teknologi maklumat dan kemunculan faktor risiko baharu penyakit.

Di samping itu, sektor penjagaan kesihatan kini memfokus bukan sahaja kepada kecekapan rawatan tetapi dalam membangunkan strategi dan aktiviti pencegahan. Hasilnya, penyelidikan dan latihan berterusan memainkan peranan yang semakin penting dalam sektor penjagaan kesihatan.

Sejajar dengan itu, Hospital Pengajar UNIMAS dijangka akan memberi sumbangan besar kepada perkembangan sektor penjagaan kesihatan di Sarawak khususnya di kawasan Samarahan. Pelan Strategik UNIMAS 2016 – 2020 (PS 2016-2020) telah menggariskan empat komitmen utama untuk menjadikan UNIMAS sebuah institusi berjenama global yang menghasilkan graduan berkualiti dan memberi manfaat kepada komuniti. 

Sehubungan itu, pembinaan Hospital Pengajar UNIMAS (HPUNIMAS) akan merealisasikan PS 2016-2020 berkenaan di dalam menyediakan pendidikan perubatan dan sains kesihatan yang cemerlang, dan seterusnya melahirkan siswazah yang kompeten dan berkepakaran tinggi.  

HPUNIMAS akan menyediakan fasiliti pengajaran dan pembelajaran (P&P) yang terkini dan berteknologi tinggi untuk program prasiswazah dan siswazah dalam pelbagai bidang perubatan dan sains kesihatan, penyelidikan dan perkhidmatan kepakaran tertiari.

Sesi penyerahan dokumen laporan makmal pengurusan nilai bagi projek pembinaan hospital pengajar UNIMAS antara Prof Datuk Dr Mohamad Kadim bin Suaidi, Naib Canselor UNIMAS (empat dari kanan) dan Dr Maziah Che Yusoff, Pengarah Bahagian Pembangunan Modal Insan, Kementerian Hal Ehwal Ekonomi (dua dari kiri) di Staff Lounge, Rumah Univeristi, UNIMAS.
 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here