More
    Home Sarawak Betong Bersama Meriahkan Pantai Tanjung Kembang, Kabong Sempena Hari Malaysia 16 September 2019

    Bersama Meriahkan Pantai Tanjung Kembang, Kabong Sempena Hari Malaysia 16 September 2019

    KABONG, 09 September 2019 (SNN)- Orang ramai dijemput bersama-sama memeriahkan Pantai Tanjung Kembang, Kabong sempena Hari Malaysia pada 16 September 2019. PBB Cawangan N.40 Kabong akan mengadakan Malaysia Day Tanjung Kembang Kabong Run: 21KM dan Pertandingan Memancing bersempena dengan sambutan Hari Malaysia tersebut. Program dan pertandingan ini bertujuan memupuk semangat patriotik dan cintakan negara di samping meningkatkan kesedaran dan penghayatan kemerdekaan di kalangan penduduk setempat. Penyertaan bagi kedua-dua pertandingan ini adalah terbuka khususnya untuk penduduk setempat di Kabong dan juga kawasan sekitar.

    Mengulas berkenaan pertandingan Tanjung Kembang Kabong Run: 21KM, jurucakap program berkenaan Encik Nur Elffi Bin Amir yang juga merupakan Pegawai Tugas Khas kepada ADUN Kabong, Yang Berhormat Encik Mohd Chee Bin Kadir berkata pertandingan tersebut terbuka kepada 2 kategori iaitu lelaki dan wanita berumur 16 tahun ke atas. Setiap penyertaan akan dikenakan bayaran sebanyak RM10 sahaja. Tempat pertama akan membawa pulang wang tunai sebanyak RM500 serta medal untuk setiap kategori, manakala tempat kedua pula akan membawa pulang wang tunai berjumlah RM300 beserta medal untuk setiap kategori. Tempat ketiga turut membawa pulang wang tunai berjumlah RM200 serta medal untuk setiap kategori, serta 20 pelari terawal yang menghabiskan larian dan tiba di garis penamat turut menerima medal.

    Untuk program kali ini, Pantai Tanjung Kembang, Kabong sekali lagi dipilih sebagai lokasi pertandingan dan acara kemuncak program. Menurut Nur Elffi, pantai Tanjung Kembang dipilih sebagai lokasi pertandingan adalah kerana kedudukannya yang strategik dan mudah dikunjungi, malah ia juga popular dan dikenali oleh pelancong dari luar Kabong. Selain itu, Pantai Tanjung Kembang juga dianggap sebagai lokasi pertandingan memancing pantai yang terbaik di negeri ini.

    Mengulas lanjut, Nur Elffi menambah, majlis ini nanti akan disempurnakan oleh Mohd Chee Kadir selaku ADUN Kabong. Justeru beliau mempelawa penyertaan daripada orang ramai khususnya masyarakat setempat serta kawasan sekitar untuk turut serta dalam Malaysia Day Tanjung Kembang Kabong Run : 21KM dan Pertandingan Memancing bersempena dengan sambutan Hari Malaysia pada 16 September 2019 nanti.

    Selain pertandingan memancing, turut diadakan aktiviti sampingan lain termasuk pertandingan karaoke dan bertandak  kanak-kanak bagi memeriahkan lagi sambutan Hari Malaysia itu nanti. Mereka yang berminat boleh mendapatkan maklumat lanjut dan borang penyertaan dengan menghubungi Encik Mas Alfy (012-2939624) dan Cik Noorazila Binti Morsidi (011-31829905). Tarikh tutup penyertaan adalah pada 13 September 2019, Jumaat, jam 4.00 petang.

    Leave A Reply

    Please enter your comment!
    Please enter your name here

    Must Read

    Sarawak komited terus maju dalam menghadapi cabaran antarabangsa termasuk perubahan iklim...

    0
    LONDON, 24 APRIL 2024: Sarawak komited untuk berkembang dan bangkit mencapai kejayaan serta berazam untuk kekal berdaya saing dan relevan sambil mencipta peluang untuk...