Kerajaan negeri teruskan laksana projek infrastruktur

0
89
Ktua Menteri (tengah) merasmikan pos kawalan sempadan sementara di Telok Melano hari ini

SEMATAN, 13 OGOS 2020 (SNN) : Kerajaan negeri komited dalam melaksanakan pelbagai pembangunan infrastruktur termasuklah projek yang telah dibatalkan oleh kerajaan pusat terdahulu.

Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Haji Openg berkata, segala bentuk pembangunan di negeri ini akan dibiayai menggunakan dana kerajaan negeri sendiri.

“Dalam masa tiga tahun ini kita telah meluluskan banyak projek termasuklah pembinaan Jambatan Rambungan dan jambatan-jambatan lain yang dijangka siap pada tahun 2025,” katanya.

“Kita tetap akan meneruskan pembinaan Jambatan Batang Lupar walaupun kerajaan terdahulu telah membatalkannya,” katanya semasa Lawatan Kerja dan Majlis Pecah Tanah Masjid dan Anjung Usahawan Telok Melano, hari ini.

Ketua Menteri hadir merasmikan tapak projek Masjid dan Anjung Usahawan

Tambahnya, kerajaan negeri mempunyai strategi tersendiri untuk melaksanakan projek rakyat seperti menubuhkan Bank Pembangunan Sarawak (DBOS) selain hasil dari cukai negeri.

Dalam pada itu, Ketua Menteri turut menjelaskan bahawa peruntukan untuk menyediakan bekalan air telah diluluskan sementara projek grid bekalan air dari Bengoh ke Sematan siap.

Ujarnya, projek tersebut merupakan sebahagian daripada projek grid bekalan air negeri yang bernilai RM2.4 bilion.

Pada majlis yang sama, beliau turut meluluskan peruntukan sebanyak RM5 juta untuk projek Anjung Usahawan di Telok Melano dan RM9 juta untuk Sematan bagi menggalakkan usahawan tempatan memasarkan produk mereka.

Selain itu, beliau turut mengumumkan sebuah pos kawalan sempadan telah diwujudkan di Telok Melano yang menempatkan agensi keselamatan.

Turut hadir sama Timbalan Ketua Menteri Tan Sri James Jemut Masing, Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak Datuk Amar Jaul Samion dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Datu Datuk Amar Datin Patinggi Jamilah Anu serta yang lain.-Sumber Ukas. Nizal.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here