KASIKA lawan PCSS untuk julang piala K-League Lea Sports Centre

0
817
Pasukan KASIKA CF/Junior. Gambar YJ

KUCHING, 3 Ogos 2019 (SNN) – Hasrat pendatang baharu yang kian menyinar dalam arena bola sepak tempatan; KASIKA CF/Junior untuk melangkah ke pentas akhir K-League Lea Sports Centre (LSC) Bawah 19 Tahun Musim 2019 akhirnya tercapai setelah menumpaskan pasukan ternama Petra Giant di Padang D, Stadium Negeri, semalam.

Perlawanan sengit yang terikat tanpa jaringan sehingga menjengah ke babak separuh masa kedua itu berlangsung penuh dramatik dan menyaksikan kedua-dua pasukan begitu waspada dalam mengatur serangan.

Namun, Petra Giant akhirnya terpaksa bermain dengan 10 orang pemain apabila pemain pertahanan mereka dibuang padang setelah menerima kad kuning kedua pada minit ke 64.

Memanfaatkan peluang yang terhidang, KASIKA Junior terus mengasak serangan demi serangan bagi menembusi benteng pertahanan Petra Giant yang semakin goyah fizikal dan mental.

Berkat kesungguhan, gol tunggal perlawanan akhirnya terhasil menerusi hantaran sepakan percuma yang kemas daripada Mohamad Haddad Aiman dan ditanduk masuk oleh Mohd Syafiq pada minit 70+2 untuk memastikan kemenangan mutlak KASIKA Junior.

Menurut Dzulkarnain; Pengurus KASIKA Junior, misi pasukan tersebut untuk melangkah ke perlawanan akhir telah tercapai dan berhasrat untuk mengungguli kejohanan musim 2019 ini serta dinobatkan sebagai juara.

Pasukan PC SS U 19. Gambar YJ.

Manakala dalam perlawanan separuh akhir kedua, PC SSC U19 telah berjaya menamatkan kemaraan Rzurf Excellent dengan kemenangan tipis penuh kontroversi 2-1.

Pentas akhir K-League Lea Sports Centre (LSC) Bawah 19 Tahun Musim 2019 anjuran Persatuan Bola Sepak Bahagian Kuching dengan kerjasama Lea Sports Centre akan menyaksikan kedua-dua finalis akan berentap di Stadium Negeri pada 9 Ogos 2019 (Jumaat) jam 8.15 malam.

Seluruh peminat bola sepak Bandaraya Kuching dijemput hadir untuk memeriahkan acara serta menyokong pasukan pilihan masing-masing.

  • sumbangan YJFT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here