Memasyarakatkan Universiti Memperkukuhkan Komuniti

0
98
Para pelajar yang terlibat dalam program UNIMAS bersama komuniti setempat ( Foto : UNIMAS Global )

Kota Samarahan, 03 Ogos 2019 (SNN)- Kewujudan sesebuah universiti sering kali dianggap sebagai tempat golongan elit akademik serta kurang mesra dengan masyarakat.  Tanggapan ini telah menyebabkan fungsi dan peranan universiti yang cukup luas, agak kurang dikenali dalam kalangan masyarakat.  Justeru, cadangan Dr Mazslee Malik, Menteri Pendidikan Malaysia untuk memasyarakatkan universiti, merupakan satu inisiatif penting dalam menjadikan universiti sebagai sumber ilmu kepada masyarakat.

Dalam konteks Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), konsep universiti untuk masyarakat telah lama diwujudkan sejak penubuhannya pada tahun 1992.  Fokusnya bukan hanya melibatkan masyarakat di Kota Samarahan dan Kuching, malah turut meliputi seluruh pelosok Bumi Kenyalang.  Usaha ini dilaksanakan bagi memastikan UNIMAS terus relevan, sebagai sebuah institusi pendidikan tinggi yang tidak hanya berkelintar dalam ruang akademik dan kesarjanaan, tetapi turut cakna dalam setiap perubahan sosioekonomi masyarakat di Malaysia.

Sesuai dengan misi penubuhan UNIMAS untuk menjana, menyebar dan menerapkan ilmu secara strategik dan inovatif, bagi memperkasakan kualiti budaya bangsa dan kemakmuran masyarakatnya, pelbagai program pemindahan pengetahuan dan teknologi kepada masyarakat setempat telah dilaksanakan.  Usaha ini bukan sahaja menjadi tanggungjawab sosial universiti, malah turut berupaya memperkukuhkan keterlibatan dan jaringan kerjasama dengan masyarakat setempat dalam pembangunan lestari.

Antara program awal UNIMAS yang melibatkan komuniti setempat ialah E-Bario. Projek perintis perkhidmatan internet di luar bandar ini bertujuan untuk menghubungkan kawasan luar bandar Sarawak, dengan dunia luar di bawah kerangka e-komuniti, iaitu satu label yang diberikan kepada kumpulan masyarakat yang telah mempunyai dan dihubungkan dengan dunia luar melalui teknologi komunikasi maklumat. E-Bario merupakan projek kerjasama antara UNIMAS, Mimos Berhad, Telekom Malaysia Berhad dan Majlis Penyelidikan Pembangunan Antarabangsa Kanada (CIDRC). 

Pada tahun 2001, melalui projek e-Bario masyarakat Kelabit di Dataran Tanah Tinggi Bario ini telah mencipta sejarah apabila dipilih sebagai antara tujuh komuniti terpintar di dunia bagi tahun 2001.  Pemilihan itu dibuat oleh Persatuan Teleport Dunia (WTO), sebuah Pertubuhan bukan Kerajaan (NGO) yang berpangkalan di New York melalui projek khas yang dikenali Forum Komuniti Pintar (ICF) yang membabitkan penduduk seluruh dunia. Anugerah tujuh komuniti terpintar ini bertujuan mengiktiraf kemunculan masyarakat pintar yang digerakkan oleh kepimpinan dalam komuniti.

Projek CSR UNIMAS-Yunnan Summer 2019 (Foto : UNIMAS Global)
Program Kesihatan dan CSR Kpg. Muara Mongkos dan Kpg. Mongkos, Serian (Foto : UNIMAS Global)

Melihat peranan besar universiti dalam pembangunan komuniti di bumi kenyalang, UNIMAS telah menunjukkan komitmen yang padu dengan menubuhkan Pusat Kelestarian Komuniti UNIMAS atau sebelum ini dikenali sebagai UNIMAS Engage pada 2015.  Matlamat penubuhan pusat ini bertujuan untuk menyediakan platform dalam membantu kelestarian komuniti, termasuklah pelaksanaan projek-projek komuniti yang berimpak tinggi, penyelidikan berkaitan peningkatan taraf hidup dan memperkasakan ekonomi masyarakat setempat serta penyediakan kualiti pendidikan terbaik untuk sesebuah komuniti.

Impak daripada pemindahan ilmu dan teknologi yang dibangunkan oleh penyelidik dan ahli akademik UNIMAS, telah berjaya meningkatkan sosioekonomi dan kesejateraan komuniti setempat, khususnya golongan B40.  Selain itu, kejayaan UNIMAS memperoleh geran komuniti melalui pelbagai agensi kerajaan, telah berjaya diterjemahkan dalam beberapa projek teknologi berimpak tinggi seperti projek tenaga Hidro Mikro di Kampung Assum, Pedawan, Projek Hidro Mikro di Kampung Pa’ Ramapoh A& B, Bario, Projek Hidro Mikro Kampung Semulong Ulu, Sri Aman, Projek Dapur Moden Gula Apong di Kampung Pinggan Jaya,  Sistem Penuaian Air dan Kumbahan untuk komuniti Penan di Long Lamai, Pelancongan Agro bagi Kampung Bako dan Kampung Buntal, Mesin Perata Pengredasi Automatik Lada dan Pengering Efisyen Lada untuk pemain industri lada, serta Projek Loji Mini Rawatan Air di  SMK Ulu Balingian, Selangau.

Lawatan ke SMK Ulu Balingian, Selangau dan Program serahan Tangki Air sumbangan UNIMAS (Foto : UNIMAS Global)

Selain melaksanakan beberapa projek komuniti seperti di atas, universiti turut mempromosikan budaya pembelajaran sepanjang hayat seperti dinyatakan dalam Pelan Strategik Pendidikan Tinggi dalam kalangan komuniti.   Beberapa sesi perkongsian pengalaman, kursus jangka pendek dan latihan untuk meningkatkan kemahiran dan melatih semula komuniti setempat dengan kepakaran teknologi terkini telah dilaksanakan, khususnya yang berkaitan dengan Ekonomi Digital. Selain itu, UNIMAS turut berkerjasama rapat dengan Kementerian Industri dan Pembangunan Keusahawan dan Lembaga Multimedia Sarawak dalam meningkatkan kesedaran masyarakat tentang Revolusi Industri 4.0 (IR4.0) serta menganjurkan latihan digital kepada seluruh komuniti di Sarawak. 

UNIMAS percaya, universiti tidak seharusnya terasing daripada kelompok masyarakat.  Hal ini kerana, interaksi yang wujud antara pihak komuniti, industri dan universiti diyakini dapat memberi impak kepada pembangunan komuniti serta berupaya menyokong proses pembelajaran dalam memahami keperluan, isu-isu semasa serta masalah yang dihadapi oleh oleh pihak komuniti dan industri.  Kesungguhan UNIMAS dalam memasyarakatkan universiti sejak awal penubuhannya telah mendapat peniktirafan daripada Times Higher Education (THE) World University Ranking apabila berjaya menduduki ranking ke-201 di dunia dalam ‘Sustainable Development Goals (SDGs)’.  Pengiktirafan ini jelas membuktikan usaha dan komitmen UNIMAS dalam pembangunan masyarakat.

Sehingga ke hari ini, UNIMAS terus aktif menjadi penghubung antara masyarakat dan industri bagi memastikan lingkungan kerjasama strategik lebih meluas, selain membantu memberi nilai tambah yang lebih besar terutama dalam aspek pembangunan ekonomi negara.  Di samping itu, beberapa program komuniti berimpak tinggi terus diperkasakan dan tidak hanya terhad di Sarawak. Universiti yakin, usaha yang berterusan ini pasti dapat membantu meningkatkan kualiti hidup masyarakat serta membentuk sebuah komuniti mapan yang berupaya menyumbang kepada pembangunan negara. Sumber : UNIMAS Global

Program Kesihatan dan CSR Kpg. Muara Mongkos dan Kpg. Mongkos ( Foto: UNIMAS Global)
Projek CSR di SK Lawrence, Sri Aman ( Foto : UNIMAS Global )

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here