Kabong Meriahkan Sambutan Bulan Sukan Negara 2019

0
258
Sambutan Bulan Sukan Negara 2019 DUN N.40 Kabong akan disempurnakan oleh Mohd Chee Kadir pada 5 Oktober 2019 bertempat di Pantai Tanjung Kembang, Kabong

KABONG, 29 September 2019 (SNN)- Bulan Sukan Negara yang dahulunya dikenali sebagai Hari Sukan Negara telah ditambah baik dengan pelaksanaan secara berterusan sepanjang bulan Oktober menggunakan konsep yang lebih mudah dan menarik orang ramai. Ianya adalah satu agenda Kementerian Belia dan Sukan Malaysia bagi membudayakan sukan dalam kalangan masyarakat dengan mendorong mereka melibatkan diri dalam aktiviti sukan, kecergasan dan rekreasi.

Mengambil inisiatif tersebut, DUN Kabong sekali lagi menjemput orang ramai untuk bersama-sama memeriahkan Pantai Tanjung Kembang, Kabong sempena Bulan Sukan Negara pada 5 Oktober 2019 ini. Pelbagai pertandingan sukan akan diadakan bersempena dengan sambutan Bulan Sukan Negara tersebut. Antara pertandingan yang akan diadakan termasuklah pertandingan bola sepak pantai, pertandingan bola tampar pantai, pertandingan gusi lengan serta pertandingan pentaque.

Pelbagai pertandingan ini bertujuan memupuk budaya bersukan di kalangan masyarakat di samping meningkatkan kesedaran dan penghayatan pentingnya sukan dan kecergasan di kalangan penduduk setempat. Penyertaan bagi pertandingan ini adalah terbuka khususnya untuk penduduk setempat di Kabong dan juga kawasan sekitar.

Jurucakap program berkenaan Encik Nur Elffi Bin Amir yang juga merupakan Pegawai Tugas Khas kepada ADUN N.40 Kabong, Yang Berhormat Encik Mohd Chee Bin Kadir  dalam satu kenyataan berkata bahawa agenda membudayakan sukan dalam kalangan masyarakat perlu dilaksanakan secara berterusan menggunakan konsep yang lebih kontemporari bagi menjamin agenda ‘sukan untuk semua’ kekal relevan. Beliau menambah dengan adanya aktiviti yang diadakan sempena Bulan Sukan Negara ini akan menjadi “Gelombang Kecergasan” dalam usaha masyarakat membudayakan sukan di Daerah Kabong khasnya.

Mengulas lanjut, Nur Elffi menambah, majlis ini nanti akan disempurnakan oleh Mohd Chee Kadir selaku ADUN N.40 Kabong. Justeru beliau mempelawa penyertaan daripada orang ramai khususnya masyarakat setempat serta kawasan sekitar untuk turut serta dalam pelbagai pertandingan sukan yang akan diadakan bermula jam 8 pagi hingga 5.30 petang pada 5 Oktober nanti.

Mereka yang berminat boleh mendapatkan maklumat lanjut dengan menghubungi Sekretariat Sambutan Bulan Sukan Negara 2019 Peringkat DUN N.40 Kabong,  En. Mas Alfy (012-2939624), Cik Noorazila Binti Morsidi (011-31829905), En. Abd.Rahim Peli (0102314348),En Syukri@Den Kipli (01131408480), dan En Ahmad Ibrahim (0143751786).

.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here