Julaihi sokong penubuhan Akademi Kepimpinan Melayu Sarawak

0
970
Memotong kek ulang tahun ke-25 IGMS. Dari kanan: Wan Ali, Datin Sadiah, Datuk Julaihi, Sanib, Datin Fatimah dan Sharen. Gambar SNN

KUCHING, 24 Ogos 2019 (SNN) – YB Datuk Hj. Julaihi bin Narawi, Menteri Muda Pembangunan Infrastruktur dan Pelabuhan Sarawak menyokong penubuhan Akademi Kepimpinan Melayu Sarawak. Beliau menyatakan demikian semasa menyampaikan ucap utama perasmian Majlis Sambutan Jubli Perak Ikatan Graduan Melayu Sarawak (IGMS) di Merdeka Palace Hotel di bandaraya Kuching malam tadi.

Julaihi sedang menyampaikan ucaputama dan perasmian. Gambar SNN.

Beliau berkata IGMS boleh memainkan peranan melahirkan pemimpin Melayu Sarawak di kalangan generasi muda supaya mereka mempunyai ilmu dan pengalaman memimpin masyarakat pada masa akan datang. Jika generasi muda tidak mempunyai ilmu kepepimpinan maka kemungkinan akan berlaku kepincangan yang akan merugikan masyarakat itu sendiri.

Lebih dari seratus orang ahli IGMS telah hadir pada majlis tersebut. YB Datuk Hj. Julaihi telah hadir bersama isteri, Datin Hjh Sadiah. Antara yang turut hadir adalah Datu Dr. Hj. Sanib bin Hj. Said, Yang Dipertua IGMS bersama isteri, Datin Hjh. Fatimah; Profesor Dr. Hj. Shahren bin Tun Zaidi dan isteri; Dr. Hj. Wan Ali bin Tuanku Madihi, Yang Dipertua Persatuan Kebangsaan Melayu Sarawak (PKMS) dan Hj. Syed Hossein bin Wan Hamit, Timbalan Yang Dipertua IGMS.

MELAYU BERANI

Sanib Said di dalam ucapan alu-aluan beliau mendedahkan nawaitu menubuhkan IGMS telah diilhamkan oleh sejarah masyarakat Melayu Sarawak. Semasa menjalankan penyelidikan untuk tesis sarjana muda (1975) dan sarjana (1976) beliau telah terharu dengan peranan pejuang Melayu Sarawak dan juga peranan pertubuhan sukarela Melayu Sarawak sejak tahun 1841 hingga 1966. Dalam sejarah Sarawak orang Melayu berjuang untuk mengambil semula kemerdekaan dan kedaulatan Sarawak daripada penjajah Brooke dan British. Pejuang-pejuang ini rela berkorban apa sahaja seperti Sharip Masahor dan Datu Patinggi Abdul Gapur telah dibuang negeri Singapura dan Melaka pada tahun 1860. Rosli Dhoby bersama pemimpin beliau seperti Awang Rambli, Bujang Suntong dan Morshidi Sidek telah berkorban jiwa raga sehingga ke tali gantung pada tahun 1950. Keberanian mereka tiada tolok-bandingannya sehingga menggegarkan empayar British pada masa itu. Siapa berkata Melayu Sarawak tidak berani?, ujar Sanib Said, seorang sejarawan Sarawak.

Dari kiri: Syed Hossin, Sharen, Fatimah, Sanib, Julaihi, Sadiah, Wan Ali dan Sopian. Gambar SNN.

Syarahan Tun Ahmad Zaidi

Majlis yang bersejarah ini juga telah dimantapkan dengan Syarahan Tun Ahmad Zaidi (SYATAZ), satu siri syarahan ulung IGMS. Malam tadi merupakan siri yang unik kerana anakanda Tun Ahmad Zaidi sendiri, Profesor Dr. Shahren telah diberi penghormatan untuk menyampaikan SYATAZ bertajuk: “Transformasi Masyarakat Melayu Sarawak di Pesisir”. Maklumat yang dipaparkan adalah hasil penyelidikan beliau yang ditaja oleh Kursi Nusantara, Institut Pengajian Borneo UNIMAS dan YB Datuk Julaihi. Penyampai syarahan yang lalu adalah mantan YAB Ketua Menteri Sarawak, Pehin Sri Abdul Taib Mahmud dan Allahyarham Pehin Sri Adenan Satem.

Salah seorang hadirin yang berasal dari Semenanjung Malaysia, Hj. Zahid berkata majlis malam tadi sangat baik dan bermanfaat. Katanya majlis ini berbeza dengan yang lain kerana merupakan majlis ilmu selaras dengan nawaitu IGMS sendiri. Beliau mengucapkan syabas kepada IGMS.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here