Jemoreng Terima Lebih RM300 Juta Untuk Bangunkan Kawasan

0
717
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jemoreng, Dr Juanda Jaya

KUCHING, 30 April 2019 (SNN)- Jemoreng terima lebih RM300 juta untuk bangunkan kawasan. Malahan apa yang menggembirakan, penduduk kampung tidak lagi meninggalkan kenderaan dalam hutan atau dihantui masalah banjir termenung berkat keprihatinan pemimpin tertinggi Sarawak serta komitmen penjawat awam memacu pembangunan di kawasan pesisir Sarawak.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jemoreng Datuk Dr Juanda Jaya berkata setakat ini kawasan beliau sudah menerima peruntukan berjumlah lebih RM300 juta.“Projek RTP yang diilhamkan oleh almarhum Tok Nan, diteruskan secara besar-besaran oleh (Ketua Menteri) Datuk Patinggi Abang Johari di mana setiap ADUN diperuntukkan RM5 juta. Di kawasan N44 Jemoreng, saya berusaha berlaku seadil yang mungkin kepada masyarakat Melanau, penduduk Cina serta rumah-rumah panjang sepanjang Batang Igan,” katanya di pejabat beliau di kompleks Dewan Undangan Negeri Sarawak hari ini.

Peruntukan itu, kata Juanda diagih-agihkan untuk membina dewan, membaiki surau, membaiki gereja kecil, membina jeti, membaiki jalan, sepanjang 2017 – 20 projek, 2018 – 27 projek dan pada tahun 2019 ada 25 projek. Semua projek telah dilaksanakan serta berjalan lancar,” kata Juanda.

Selain pembangunan fizikal, Juanda berkata beliau juga menyediakan peruntukan untuk menjalankan program keilmuan bagi menganjak minda rakyat supaya melihat pembangunan itu sebagai sesuatu yang akan membantu mereka.“Pembangunan yang kita bawa masuk bukan bererti kita akan membuat rakyat menjadi malas atau bergantung sepenuhnya kepada kerajaan, sebaliknya suatu sarana atau pemboleh ubah untuk meningkatkan taraf hidup rakyat,” jelas beliau.

Juanda menegaskan beliau berkerja keras meminta dana tambahan daripada Ketua Menteri dan berita baik itu biasanya dimaklumkan Abang Johari setiap kali beliau turun padang melawat kawasan DUN Jemoreng.“Pada bulan Mei 2018, Abang Jo telah meluluskan peruntukan tambahan RM200 juta, dan hampir semua  projek ini telah take off (dilaksanakan) antaranya pembinaan Jalan dari Kampung Igan ke Sungai Ilas yang akan menghubungkan empat buah kampung serta rumah panjang di Batang Igan yang membabitkan kos RM60 juta, kontraktor sudah dilantik, kerja sudah berjalan.

“Di samping itu, Projek jalan dari Jemoreng ke Pasin dalam kawasan DUN Daro yang berharga RM65 juta diumumkan dalam suatu majlis lain di Daro, semalam saya dimaklumkan sekitar 50 peratus kerja survei sudah berjalan dan pada akhir Mei 2019, tender akan dibuka,” kata Juanda.

Di samping itu, projek kecil pembinaan jalan kampung seperti dari Kampung Igan ke Tapak Pesta Kaul Igan juga diberikan kepada kontraktor melalui proses tender terbuka.“Melalui pembinaan jalan dari kampung Igan ke Tapak kaul, kawasan tanah pertanian akan dapat dihubungi, nelayan-nelayan pantai akan lebih senang ke laut memberi peluang kepada rakyat untuk mengaktifkan ekonomi,” kata Juanda.

Pada awal tahun ini, projek menaik taraf jalan dari pengkalan feri Igan menuju ke kampung Kebuaw projek bernilai RM6 juta telah selesai dilaksana.“Untuk pertama kalinya, sejak merdeka penduduk Kebuaw cukup gembira kerana dahulu mereka terpaksa parkir kereta tengah hutan belantara, naik sampan untuk ke rumah, kini mereka boleh tidur nyenyak kerana kereta boleh disimpan tepi rumah,” kata Juanda. 

Juanda berkata beliau selalu menasihatkan penduduk kampung untuk memastikan jalan yang mereka bina menggunakan dana Majlis Daerah memenuhi syarat jalan Sistem Maklumat Rekod Jalan Raya (MARRIS). “Apabila perlu diturap atau naik taraf, mudah mendapatkan peruntukan yang disalurkan melalui MARRIS untuk kerja kerja selenggara,” jelasnya.

Juanda tidak menafikan kes terpencil jalan kampung tidak dapat dilaksanakan apabila berlaku pertelingkahan antara jiran yang enggan memberikan laluan, namun majoriti rakyat bekerjasama. Juanda juga mengakui masalah perparitan perlu dibuat secara lebih sistematik oleh pihak berwajib untuk meningkatkan taraf hidup rakyat. Perkara itu sudah dimaklumkan beliau kepada pihak Jabatan Pengairan dan Saliran Mukah. Isu sistem saliran yang daif ini menyaksikan kawasan kampung di Matu seperti di Sekaan dan Jemoreng mengalami masalah banjir termenung.

“Sepatutnya, awal tahun ini kita sepatutnya membersihkan empat batang sungai yang membabitkan kos RM500,000. Malangnya, apabila naik kerajaan PH ia telah dibatalkan. Saya berjumpa dengan Ketua Menteri dan beliau bersetuju agar projek ini diteruskan pada tahun hadapan. “Mudah-mudahan pada tahun yang akan mendatang, air memang naik di Matu, Jemoreng dan Sekaan, kita berharap ia akan flushing (reda) dengan cepat dan menyelamatkan tanaman orang kampung daripada terjejas oleh banjir termenung,” kata beliau.

Juanda berkata di Matu, dewan sudah dibina di kampung Tian, Bawang, Jemoreng, Sok dan Kuala Matu, manakala dewan di kampung Igan yang berharga RM3 juta juga sudah diluluskan Ketua Menteri. “Penduduk kampung perlu pandai memanfaatkan dewan, pihak JKKK perlu menjaga dewan dewan ini. Saya memohon kemudahan seperti ini digunakan dengan sebaik-baiknya,” kata Juanda.

Beliau juga mengakui ada projek pembinaan dewan yang bermasalah seperti yang berlaku di kampung Pergau, dan masalah itu sudah diatasi. Bercakap tentang surau dan masjid, Juanda berkata masjid daerah Matu yang bernilai hampir RM10 juta akan dapat digunakan menjelang bulan puasa ini dan penduduk Matu akhirnya akan dapat solat di masjid baru selepas menunggu hampir 20 tahun.“Ketua Menteri juga telah meluluskan masjid kampung Kuala Matu di tapak baru berharga RM3 juta, reka bentuk sudah lulus, tunggu tender dan proses pembinaan akan berjalan segera,” tambahnya.

Selaku anak jati kawasan Jemoreng, Juanda memahami keresahan penduduk berhubung isu bekalan elektrik yang sentiasa terputus atau “blackout” yang sudah terlalu lama menghantui rakyat. Juanda juga berasa lega kerana kabel baru yang berkuasa tinggi akan dibina lebih tinggi serta mengurangkan risiko gangguan litar pintas . “Saya bersama ADUN Daro (Safiee Ahmad) sering kali bersama sama membawa isu ini ke Dewan Undangan Negeri, alhamdulillah penghujung tahun 2019 perkara ini akan selesai dengan pembinaan substesen bernilai RM300 juta yang telah siap di kawasan Daro,” kata beliau- Sumber UB.Online

.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here